Johan Lebar Sayap Dalam Dunia Automotif, Buka Kedai Motor EV GGR
- oleh MDaily Editor
- 18 Oct 2025 9:40 pm
Pelawak dan pelakon terkenal, Johan Raja Lawak terus mengorak langkah dalam bidang keusahawanan apabila melancarkan kedai motosikal elektrik (EV) terbaharu dikenali sebagai GGR x Johan di bawah Hanania Group Sdn Bhd, bertempat di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Menariknya, premis berkenaan terletak bersebelahan dengan restoran milik Johan iaitu Itik Ke Ayam?, sekali gus menjadikan kawasan Melawati Square, Taman Melawati sebagai pusat tumpuan perniagaan miliknya.
Majlis perasmian kedai itu disempurnakan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dan turut dihadiri oleh YAM Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, Rakan Strategik Professor Dr Nizar Abd Jalil dan Pengarah Urusan GGR Legacy (M) Sdn. Bhd., Muhammad Mussaddiq Azmi atau Dekmat.
Pelancaran itu turut diserikan dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara GGR dan Johan, serta kerjasama strategik melibatkan GGR Akademi bersama Ram Corporation Ltd (Thailand) untuk tujuan eksport motosikal ke Thailand, dan GGR Zhejiang Huaqu International (VARCHEA) dari China.

Penandatanganan MoU ini dijangka membuka peluang kolaborasi dalam penjualan motosikal elektrik dan juga membuka peluang pekerjaan seramai 100 orang kepada masyarakat khususnya dikalangan anak muda.
Menurut Johan atau nama penuhnya Haji Mohd Yazid Lim bin Mohamad Aziz, 41, pembukaan GGR x Johan merupakan langkah penting untuk memperkenalkan teknologi hijau kepada masyarakat tempatan serta membuka peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri automotif.

Johan dan Dekmat, Pengarah Urusan GGR Motor
“Alhamdulillah, hari ini kita rasmi GGR x Johan, showroom motosikal EV pertama saya di Taman Melawati, sebelah restoran Itik Ke Ayam?,”
“Saya berbangga kerana Dekmat ialah usahawan Melayu pertama yang memiliki kilang motosikal sendiri. Sebelum ini, jenama besar dalam pasaran banyak dimonopoli bukan Bumiputera, jadi pencapaian ini sesuatu yang membanggakan,” ujar Johan.
Tambahnya, kelebihan utama GGR x Johan terletak pada aspek servis pelanggan yang pantas dan jujur, selain menawarkan produk berkualiti pada harga berpatutan.
“Saya percaya servis yang baik lebih penting daripada sekadar jualan. Kalau ada stok, saya jual terus. Kalau tiada, saya beritahu pelanggan dengan jujur,” katanya.
Johan turut menambah motosikal EV menjadi pilihan masa depan kerana tidak memerlukan minyak hitam dan kos penyelenggaraan yang rendah dan trend peralihan kepada kenderaan elektrik bukan sekadar trend tetapi satu langkah penting ke arah gaya hidup hijau yang lebih lestari.
“Motor EV mesra alam dan membantu mengurangkan pencemaran udara. Malah, banyak negara sudah beri kelebihan kepada pengguna EV, termasuk pengecualian caj tertentu,” jelasnya.
Bagi Johan, kolaborasi bersama GGR Motor bukan sahaja satu kejayaan perniagaan, tetapi juga usaha memartabatkan jenama tempatan di pentas antarabangsa.
“Saya bersyukur diberi peluang untuk bersama-sama GGR majukan perniagaan anak muda Bumiputera. Ini bukan hanya tentang jual motor, tetapi tentang membina legasi dan memberi inspirasi,” katanya.

Motosikal elektrik GGR EV LION G1 keluaran GGR Motor direka praktikal, tahan lasak dan mesra pengguna. Ia menawarkan tiga mod kelajuan iaitu 35 km/j, 45 hingga 55 km/j dan maksimum 70 km/j, sesuai untuk kegunaan bandar atau perjalanan jauh.
Motosikal ini mampu mencapai jarak perjalanan hingga 120 kilometer bagi setiap cas penuh, dengan tempoh pengecasan sekitar enam jam. Ia juga tidak memerlukan servis enjin berkala, sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan kerana hanya komponen seperti bateri, pengawal (controller), tayar dan casing perlu dijaga.
Model ini hadir dengan waranti sehingga 50,000 kilometer serta enam pilihan warna iaitu merah, putih, kuning, oren, biru cair dan pink, dengan tambahan biru dan hijau akan datang.
Motosikal elektrik GGR EV LION G1 dijual pada harga RM3,999 seunit.
Terdahulu, pelakon Farid Kamil turut membuka kedai motosikal EV hasil kerjasama dengan GGR di Bandar Setia Alam, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas rangkaian perniagaan dan memperkenalkan teknologi hijau kepada pengguna tempatan.




