Jofliam Kecewa Isteri Berdiam Diri: ‘Jika Saya Curang, Dia Sudah Tinggalkan Saya’
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu
Pempengaruh yang sedang menjadi topik perbualan hangat, Jofliam, meluahkan rasa kecewanya terhadap isterinya, Cik Epal, yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi meredakan kontroversi yang melanda rumah tangga mereka.
Usahawan berusia 36 tahun itu menegaskan bahawa tuduhan curang yang dilemparkan kepadanya adalah tidak berasas. Menurut Jofliam, dia seorang suami yang setia dan sangat mementingkan keluarganya.
“Kalau dia betul sayang saya, sekurangnya boleh dia keluarkan statement untuk meredakan keadaan. Siapa kenal saya, saya seorang yang menjaga keluarga saya,” katanya dengan nada kecewa.
Jofliam turut menjelaskan bahawa tuduhan kecurangan itu tidak masuk akal kerana jika benar dia curang, isterinya sudah pasti akan meninggalkannya.
“Kalau yang ‘jentik’ pun saya orang pertama kena pertahankan. Saya tak pernah curang. Setelah isu ini berlaku, dia yang datang promosi pizza, dia yang nak ‘tackle’ saya semula. Kalau betul saya curang, mesti dia sudah tinggalkan saya.”
Apabila ditanya mengenai sama ada dia mahu menyelamatkan rumah tangganya, Jofliam menyatakan dia kini lebih fokus kepada menjaga perasaannya sendiri.
“Saya tengok keadaan, dalam masa empat bulan saya cari orang yang faham saya, tiada siapa yang mendengar keluhan saya. Saya merayu nak jelaskan, bila dah terjadi baru nak dengar. Sesiapa yang nak sayang saya, jaga hati saya, terpulanglah.”
Jofliam kini teruk dikecam di media sosial selepas didakwa menjalin hubungan dengan seorang pekerja bernama Dewi. Netizen turut menyiasat setiap aktiviti yang dikongsikan Jofliam dan Dewi, termasuk perjalanan mereka ke Milan atas urusan kerja.