Jofliam Akui Lafaz Taklik, Serahkan Status Penceraian kepada Mahkamah
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu
Pempengaruh terkenal, Jofliam, akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung status perkahwinannya dengan Cik Epal, selepas isu rumah tangga mereka menjadi bualan ramai baru-baru ini.
Spekulasi mengenai masalah dalam perkahwinan mereka telah tersebar meluas di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen.
Menurut Jofliam, beliau mengakui bahawa dirinya telah melafazkan taklik cerai terhadap isterinya, namun hanya sekali, dan kini berdepan dengan kekeliruan mengenai status sebenar penceraian tersebut.
“Kalau bagi saya ikut hukum sudah. Saya sudah lafaz taklik sebenarnya, sekali sahaja,” ujar Jofliam.
Namun, Jofliam memilih untuk menyerahkan keputusan akhir kepada pihak mahkamah, kerana beliau tidak berani membuat sebarang penilaian mengenai hukum syarak.
“Saya rasa biar mahkamah putuskan sebab bab hukum saya tak berani nak cakap,” tambahnya, dengan merujuk kepada kekeliruan yang dialami beliau semasa berurusan di mahkamah.
“Saya tak pasti (status cerai), sebab apabila saya pergi ke kaunter mahkamah hari itu, ada yang cakap sah cerai, ada yang kata tidak.”
Walaupun begitu, Jofliam menekankan bahawa hubungannya dengan Cik Epal masih baik, terutama sekali kerana beliau adalah ibu kepada dua orang anak mereka.
Terdahulu, media sosial kecoh dengan pelbagai spekulasi berhubung perkahwinan pasangan Jofliam dan Cik Epal. Namun, kedua-dua pihak sebelum ini mengambil pendekatan berdiam diri, sehingga Jofliam akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar yang sedang berlaku.