Joey Daud, Azhan Rani, Amir Nafis & Epy Kodiang Hidupkan Naskhah Seram Paraxnormal
- oleh Mohd Indera
- 23 Jul 2025 12:10 am

Empat pelakon dari latar generasi berbeza Joey Daud, Azhan Rani, Amir Nafis dan Epy Kodiang bergabung tenaga menghidupkan naskhah seram terbaharu, Paraxnormal yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025.
Diterbitkan oleh Nanord Studio Production, Paraxnormal menampilkan kelainan apabila mengetengahkan kisah seram yang disulam dengan unsur psikologi, komedi gelap serta konflik sahabat lama yang penuh dendam dan pengkhianatan.
Dalam Paraxnormal, Joey Daud membawa watak Yasin, Azhan Rani sebagai Asri, Epy Kodiang sebagai Fateh dan Amir Nafis memegang watak Anas.
Empat sahabat ini diceritakan terpisah sejak kecil namun bertemu semula selepas 30 tahun dan merancang satu tindakan nekad iaitu merompak sebuah vila terbiar bernama Vila Casablanca yang dikatakan berhantu dan menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta.
Namun, apa yang mereka temui jauh lebih mengerikan daripada sekadar hantu kerana setiap daripada mereka menyimpan rahsia dan dendam lama yang akhirnya mencetuskan konflik besar hingga menguji erti persahabatan sebenar.
Menurut penerbitnya, Nurul Ain Nordin, kekuatan utama Paraxnormal bukan sekadar terletak pada jalan cerita yang segar, tetapi turut diperkukuh dengan gandingan pelakon berpengalaman dan pelapis baharu yang memberikan nafas baharu kepada filem ini.
“Kami percaya gabungan Joey Daud, Azhan Rani, Epy Kodiang dan Amir Nafis mampu menghidupkan watak empat sahabat dengan cukup meyakinkan kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Keserasian mereka di set juga membantu menjadikan filem ini lebih ‘hidup’ dan dekat dengan penonton,” jelas Ain.
Selain keempat-empat pelakon utama tersebut, Paraxnormal turut menampilkan nama besar lain seperti Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusoff yang menguatkan lagi barisan pelakon filem ini.
Tambah Ain lagi, walaupun Paraxnormal bermula sebagai perancangan Super Telemovie pada tahun 2023, kekuatan cerita serta elemen konflik yang ditonjolkan menjadikan karya ini lebih layak untuk diangkat ke layar perak.
Namun perjalanan pembikinan Paraxnormal bukanlah mudah apabila produksi turut berdepan pelbagai cabaran termasuk insiden pelik seperti monitor rosak tanpa sebab, kru mendakwa terlihat ‘dua Ain’ serentak, selain insiden penolong pengarah tiba-tiba mengamuk tanpa sebab sebelum pengsan.
Sebagai penerbit, Ain menaruh harapan agar Paraxnormal mendapat sambutan positif penonton dan mampu berdiri sebagai antara filem seram tempatan yang meninggalkan kesan mendalam.
Empat sahabat karib Yasin, Asri, Fateh dan Anas bertemu semula selepas 30 tahun. Perjumpaan itu membawa kepada satu perancangan gila: merompak Vila Casablanca yang dikatakan berhantu dan menyimpan harta tersembunyi.
Namun, apa yang mereka temui jauh lebih menakutkan apabila rahsia dan dendam lama mula terbongkar.
Paraxnormal yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025.