Ikuti Kami:

Joe Flizzow Buktikan Seni Medium Perubahan, Diiktiraf Ikon Belia Johor

Joe Flizzow Buktikan Seni Medium Perubahan, Diiktiraf Ikon Belia Johor

Pengaruh seni sebagai medium perubahan sekali lagi dibuktikan apabila bintang hip-hop tanah air, Joe Flizzow, dinobatkan sebagai Ikon Belia Johor (Penggiat Seni) sempena Anugerah Sukan Johor ke-31 (ASJ31).

Pengiktirafan itu diberikan bukan sahaja atas kejayaan beliau dalam industri muzik, tetapi juga sumbangan besar terhadap pembangunan bakat baharu serta inspirasi kepada anak muda untuk menjadikan seni sebagai wahana membina masa depan.

Sepanjang kerjaya lebih dua dekad, Joe Flizzow bukan sekadar menghasilkan karya muzik berkualiti, malah membuka ruang untuk bakat baharu melalui Kartel Records dan platform 16 Baris, yang kini menjadi medan penting melahirkan artis hip-hop generasi baharu.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan kepada saya, tetapi juga kepada anak muda Johor yang berani menjadikan seni sebagai cara untuk membawa perubahan dalam hidup mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu, penerbit dan usahawan, Joe Flizzow membuktikan bahawa seni mampu menjangkaui pentas hiburan apabila beliau mengasaskan rangkaian Joe’s Barbershop yang kini berkembang lebih 20 cawangan, selain mengangkat Malaysia di persada antarabangsa sebagai Pengarah Urusan Def Jam Recordings Southeast Asia.

Malah, lagu-lagu popularnya seperti Apa Khabar dan Satu Malam di Temasek bukan sekadar hiburan, tetapi hadir dengan mesej yang mengangkat keyakinan diri serta perjuangan generasi muda.

Single terbaharunya, Berlian, terus mengukuhkan peranan beliau dalam menyampaikan mesej motivasi dan inspirasi.

Pengiktirafan ini sekali gus mengesahkan Joe Flizzow sebagai figura yang menggunakan seni bukan sekadar untuk berkarya, tetapi juga sebagai medium membentuk identiti belia, memperkasa komuniti serta membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Komen
Loading...