Kerinduan peminat muzik tanah air terhadap melodi syahdu era 90-an bakal terubat menerusi pelancaran album kompilasi “Jiwang Karat” yang menghimpunkan 25 artis tempatan daripada pelbagai generasi.
Album terbitan FGI Entertainment itu bukan sekadar satu naskhah muzik, malah merupakan usaha murni untuk mengangkat semula identiti muzik “kemelayuan” yang pernah mendominasi carta radio satu ketika dahulu.

Penerbit utama, Fauzi Aisunam berkata, inspirasi album ini lahir daripada keinginan untuk melihat genre lagu cinta yang mempunyai “soul” dan lirik yang mendalam terus hidup di tengah-tengah kebanjiran lagu luar.
“Kami mahu genre lagu jiwang ini diberi nafas baharu. Walaupun proses rakaman dilakukan secara digital di FGI Studio, kami tetap mengekalkan ‘vibe’ dan akar melodi 90-an agar ia kekal evergreen,” katanya pada majlis pelancaran album tersebut di Anugerah Camp, Taman Rimba Templer, pada Sabtu.
Penerbit bersama yang juga pemain bass kumpulan Melissa, Ajak, menyifatkan album ini sebagai “senjata” buat industri muzik tempatan untuk bersaing dengan lambakan lagu dari luar negara.

“Strategi kami bukan mengeluarkan lagu satu demi satu, tetapi terus melancarkan 25 lagu sekali gus sebagai satu kenyataan bahawa muzik kita masih berbisa.
“Kami mengekalkan melodi yang ‘root’ kepada asal zaman rock kapak kerana itulah identiti sebenar muzik Malaysia yang orang luar pun belajar daripada kita,” katanya.
EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat merangkap ADUN Taman Templer, YB Puan Anfaal Saari dalam sidang media memuji keberanian pihak penerbit menghasilkan 25 lagu baharu dalam tempoh singkat, sekali gus menyifatkan karya seni sebagai medium penting dalam mencerminkan tamadun bangsa.

Majlis pelancaran album Jiwang Karat dirasmikan oleh EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat merangkap ADUN Taman Templer, YB Puan Anfaal Saari (tengah).
“Seni dan budaya adalah sebahagian daripada identiti kita. Jika semua mesej disampaikan melalui ceramah, ia akan terasa kering. Usaha seperti ‘Jiwang Karat’ ini penting untuk mendedahkan generasi muda kepada kualiti lirik dan melodi yang mampu menyentuh emosi,” ujar beliau.
Menambah keistimewaan album ini, pelakon dan penyanyi veteran yang dikenali dengan lagu Memburu Impian, Kazaruddin Saisi atau Kazar, dipilih sebagai artis ikon menerusi lagu “Bayangan Bertamu”.
Kazar menyifatkan penglibatannya sebagai satu penghormatan setelah berpuluh tahun tidak muncul dengan karya rakaman baharu.

“Bila disebut Jiwang Karat, saya setuju untuk bersama-sama kerana melodi yang ditawarkan sangat serasi dengan jiwa saya. Ia mempunyai roh yang jarang kita temui dalam lagu-lagu zaman sekarang,” jelas Kazar.
Selain Kazar, album ini turut menggabungkan barisan artis berpengalaman dan bakat baharu bagi memastikan kesinambungan genre ini dalam pasaran digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube.
Bagi peminat yang ingin memiliki naskhah fizikal, “Jiwang Karat” turut dipasarkan dalam bentuk pendrive eksklusif dengan harga RM35, memuatkan 25 lagu yang menjanjikan kualiti audio terbaik.




