Ikuti Kami:

Jiwa, Halim & Kmy Kmo Sampaikan Realiti Muzik Hip Hop Melayu

Jiwa, Halim & Kmy Kmo Sampaikan Realiti Muzik Hip Hop Melayu

Penyanyi Halim dan rapper terkenal, Kmy Kmo bergabung dalam single terbaharu berjudul Layar Boneka yang membawa suara jiwa dan realiti kehidupan menerusi irama hip hop Melayu masa kini.

Dicipta oleh Kmy Kmo dan HMstatenine, lagu ini menyampaikan mesej yang jelas tentang keberanian, harga diri dan semangat untuk bangkit daripada fitnah serta tekanan hidup. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu bentuk teguran dan refleksi terhadap isu-isu masyarakat.

“Kami mahu bersuara, kami bukan sekadar mahu nyanyi,” kata Halim dan Kmy Kmo dalam satu kenyataan bersama.

Menurut Halim, kerjasama ini terjalin selepas mereka bertemu di set penggambaran program TV Manhajj Mutawiff terbitan syarikat miliknya. Ketika itu, Kmy Kmo terlibat dalam penghasilan lagu tema untuk program berkenaan.

“Saya memang minat muzik yang Kmy hasilkan. Ada sentuhan muzik Melayu dan unsur hip hop yang saya suka. Sebagai peminat genre hip hop, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya rakam lagu bersama beliau,” kata Halim.

Kmy Kmo pula menyifatkan Halim sebagai seorang penyanyi yang memiliki suara tersendiri dan sesuai untuk lagu-lagu bergenre balada dan rock Melayu.

“Dia ada semangat dan disiplin tinggi. Dia bukan sekadar mencuba-cuba, sebaliknya betul-betul mahu belajar dan hasilkan sesuatu yang bermakna,” katanya.

Lagu Layar Boneka dirakam secara profesional dengan susunan muzik oleh HMstatenine. Ia menggabungkan elemen pop moden, balada dan hip hop Melayu bagi mencipta satu pengalaman muzik yang berbeza.

“Lagu ini untuk mereka yang pernah dipinggirkan atau diam terlalu lama kerana kata-kata orang. Sudah tiba masanya untuk bangkit,” ujar Halim.

Single Layar Boneka kini boleh didapati di semua platform digital. Video muzik rasmi lagu ini turut dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas yang bertindak sebagai pengedar digital.

Kolaborasi ini diharap dapat memperluaskan lagi penerimaan muzik hip hop Melayu sebagai wadah penyampaian mesej dan emosi yang dekat dengan jiwa pendengar.

Komen
Loading...