Ikuti Kami:

Jika Tiada SOP Ketat, Baik Kunci Sahaja Rumah, Dr Rafidah Risau Kerajaan Benarkan Ziarah Raya

Jika Tiada SOP Ketat, Baik Kunci Sahaja Rumah, Dr Rafidah Risau Kerajaan Benarkan Ziarah Raya

Susulan pengumuman kerajaan membenarkan sambutan hari raya antara jiran dan keluarga terdekat dalam negeri yang sama dengan hanya maksima 20 orang pada satu-satu masa, membimbangkan banyak pihak.

Kegusaran itu timbul kerana khuatir akan menyebabkan kemunculan kluster baru COVID-19.

Pakar perunding nefrologi, Dr Rafidah Abdullah di laman Twitter nya memohon agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan semula saranan tersebut.

Ini kerana katanya, rumah yang amat besar diperlukan untuk memastikan penjarakkan sosial yang selamat.

“Saya dengan merendah diri memohon Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia menimbang semula saranan membenarkan kunjungan hari raya (had maksimum) seramai 20 orang.

“Untuk mengekalkan jarak sosial selamat, rumah tersebut mesti rumah yang sangat-sangat besar. Berapa ramaikah masyarakat kita yang ada rumah sebesar itu?

“Mampukah mereka mengekalkan saranan yang sangat basic oleh Kementerian Kesihatan Malaysia?”, katanya

Dr Rafidah turut mempersoalkan sama ada masyarakat Malaysia dapat bertanggungjawab dalam membendung penularan wabak COVID-19.

“Mana anda tahu di antara mereka adalah kontak rapat yang positif COVID-19? Walaupun mereka patut kuarantin tapi masih keluar berjalan-jalan?

“Sanggupkah anda menjadi pembawa penyakit dan jangkitkan orang yang menerima kunjungan anda?

“Elok-elok mereka sihat, dapat jangkitan jadi tenat dan menghadapi risiko kematian?” tambahnya.

Sehubungan itu, Dr Rafidah mencadangkan agar semua orang hanya berhari raya di rumah keluarga mereka sendiri.

“Paling banyak ibu bapa anda dan ibu bapa mentua. Itupun jika berada di dalam negeri yang sama.

“Maksimum dua rumah. Sekejap saja. Lepas itu, balik rumah sendiri,” katanya.

Beliau turut mencadangkan tuan rumah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) sendiri.

“Buat saringan di pintu pagar (tanya simptom, kontak dan periksa suhu badan). Sediakan topeng muka dan pastikan setiap pengunjung basuh tangan di pintu masuk rumah.

“Jika tiada SOP ketat, baik kunci sahaja rumah,” katanya.

Dr Rafidah turut memuat naik satu saranan poster cadangan untuk tuan rumah sempena Aidilfitri nanti dengan mencetak dan tampal poster ini di luar pintu pagar rumah.

“Maaf, rumah ini tidak menerima tetamu. Tuan dan puan rumah ini adalah golongan berisiko (tua dan berpenyakit kronik) untuk mendapat komplikasi dan maut jika dijangkiti oleh Covid-19.

“Mohon anda juga balik ke rumah,”

“Kami, petugas barisan hadapan sekarang mengharapkan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Kunjung mengunjung Aidilfitri BUKAN caranya,” ujurnya lagi.

Pada Ahad, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah jiran terdekat dan keluarga dalam negeri yang sama, dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Komen
Loading...