Ikuti Kami:

Jessie Chung Memukau Arena of Stars dalam Konsert Jelajah Dunia My Style

Jessie Chung Memukau Arena of Stars dalam Konsert Jelajah Dunia My Style

Arena of Stars di Resorts World Genting bergema apabila penyanyi terkenal, JessC memulakan Konsert Jelajah Dunia Jessie Chung My Style yang memukau 5,000 penonton yang hadir malam Selasa.

Konsert ini menampilkan senarai lagu-lagu yang mempamerkan kebolehan JessC sebagai penyanyi pelbagai genre dan bahasa.

Persembahan dimulakan dengan lagu pembukaan berjudul My Style, diikuti Be Strong, yang menyuntik semangat kepada ribuan penonton yang hadir.

Antara lagu-lagu lain yang dipersembahkan termasuk Rainforest, Six Feet Deep, dan Dance Along With Your Soul.

JessC turut menyampaikan lagu dalam Bahasa Melayu seperti Demi Impian dan Satu Suara Raya memperlihatkan penguasaan beliau dalam pelbagai bahasa.

Kemunculan khas Fauziah Latiff menyemarakkan lagi suasana konsert dengan nyanyian lagu ikonik beliau, Dia dan Sekilas Senyumanmu.

Duet bersama JessC untuk lagu Tak Terpisah turut mendapat sambutan gemuruh.

Selain itu, Lee An Sheng dan Lee An Tian, dua lagi artis jemputan, turut memberikan persembahan yang memukau.

JessC dan Lee An Tian menggamit emosi penonton melalui lagu Promise Me, manakala Lee An Sheng mempersembahkan Someplace Honest dan Possibility.

Konsert ini disokong oleh produksi bertaraf antarabangsa, dengan pencahayaan, bunyi, dan efek visual yang memukau.

Konsert ini turut menampilkan segmen muzik therapeutic yang menonjolkan pelbagai alat muzik seperti piano, organ, keyboard dan keytar yang dimainkan sendiri oleh JessC.

Dengan membawakan lagu secara instrumental seperti Getaran Jiwa dan My Way, segmen ini memberikan pengalaman terapi melalui muzik dengan lagu-lagu yang syahdu.

Selain bergelar penyanyi, JessC juga merupakan Certified Therapeutic Musician, dengan kelayakan diploma dalam muzik terapi dari United Kingdom dan Sepanyol.

Penyanyi itu turut memiliki Ijazah Kedoktoran dalam Perubatan Klinikal Integratif Cina dan Barat dari Guangzhou University of Chinese Medicine (China), PhD dalam Sains Kesihatan dari Charisma University, serta merupakan Naturopathic Doctor yang diperakui oleh American Naturopathic Medical Certification Board (ANMCB) di Amerika Syarikat.

Dengan latar belakang perubatan serta kepakaran dalam Naturopatik dan terapi muzik, JessC mendedikasikan dirinya untuk menggunakan muzik sebagai alat pemulihan fizikal, emosi, dan rohani.

Ketika ditemubual selepas persembahan, JessC berkongsi rasa terujanya terhadap sambutan hangat peminat.

“Saya sangat gembira dan teruja. Walapun sangat meletihkan kerana menyanyi, menari, dan bermain alat muzik. Tapi ia pengalaman yang luar biasa,” katanya.

Jessie turut menyentuh tentang impian dan cintanya terhadap Malaysia.

“Saya sayang Malaysia kerana keindahannya terletak pada perpaduan semua kaum. Lagu Satu Suara Raya dicipta untuk meraikan kesatuan ini,” katanya.

Konsert Jelajah Dunia Jessie Chung My Style di Arena of Stars menjadi pembuka tirai yang berjaya untuk JessC, yang kini bersiap sedia untuk membawa konsert ini ke 20 lokasi lain sepanjang tahun ini.

Sambutan luar biasa daripada peminat membuktikan populariti Jessie terus utuh sebagai ikon muzik.

Komen
Loading...