JessC ‘Pukau’ MegaStar Dengan 40 Lagu Dalam Konsert ‘My Style’
- oleh MDaily Editor
- 21 Dec 2025 4:48 pm
Penyanyi ‘Healing Music’, JessC membuktikan kualiti vokalnya berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya memukau ribuan penonton menerusi konsert JessC My Style yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, malam tadi.
Dalam persembahan bertenaga yang berlangsung selama lebih tiga jam itu, penyanyi yang berpangkalan di Australia ini tidak menang tangan memenuhi kehendak peminat apabila mempertaruhkan kira-kira 40 buah lagu tanpa henti.
Apa yang menarik, JessC turut mempamerkan kebolehannya menguasai pelbagai bahasa dengan menyampaikan rangkaian lagu dalam bahasa Mandarin, Bahasa Malaysia, Inggeris, Jepun dan Kantonis.
“Saya berharap setiap penonton yang hadir akan pulang dengan memori indah selepas mendengar sekurang-kurangnya satu lagu yang dekat di hati mereka,” katanya ketika ditemui media selepas konsert.

Kemuncak konsert berkenaan menyaksikan JessC berkongsi pentas dengan penyanyi legenda tanah air, Fauziah Latiff. Selain menyanyikan lagu duet Tak Terpisah, kehadiran Fauziah turut dimanfaatkan JessC untuk menyanyikan lagu ikonik Dia secara bersama.
“Saya sudah jatuh cinta dengan lagu Dia sejak kecil lagi. Sebelum ini saya sering menyanyikannya dalam konsert terdahulu, namun kali ini saya sangat berbesar hati kerana dapat menyanyikannya sendiri bersama pemilik asalnya,” katanya.
Selain kualiti vokal, aspek visual turut menjadi tarikan utama apabila JessC tampil dengan enam persalinan mewah yang mencecah nilai AS$30,000 (kira-kira RM122,310).
Antara busana yang mencuri perhatian adalah gaun putih berhias 20,000 kristal yang diinspirasikan daripada estetik tradisional Melayu serta busana ‘Flame Princess’ yang berwarna merah menyala.




