JessC Menangi Anugerah ICMA & LIT Music Awards, Tembus Pasaran UK
- oleh MDaily Editor
- 22 Apr 2026 11:54 am
Artis versatil, JessC, terus melakar sejarah di persada seni antarabangsa apabila karya muziknya bukan sahaja mendapat tempat di telinga pendengar global, malah diiktiraf melalui beberapa anugerah berprestij di peringkat dunia.
Membawa pulang deretan trofi menerusi InterContinental Music Awards (ICMA) dan LIT Music Awards dalam kategori Best Asian Pop: Menerusi lagu My Style, Anugerah Platinum “Best World Music”: Bagi lagu Expose, Mari Menari Raya, dan My Style dan Best Song & Best New Artist: Menerusi lagu One Chance.
“Pengiktirafan terhadap karya dalam tiga bahasa ini adalah sesuatu yang tidak disangka. Ia membuktikan bahawa muzik mampu merentasi batas bahasa dan budaya,” katanya di majlis Rumah Terbuka Hari Raya JessC yang diadakan di 9 SPAC, Shah Alam, di sini, semalam.

Selain itu, kolaborasi beliau bersama Dato’ AC Mizal menerusi lagu Raya turut berjaya menembusi stesen radio di UK, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Amerika Selatan selain video muzik Satu Suara Raya dan menerima jemputan khas untuk menyertai sebuah festival filem pendek di Jepun.
“Saya amat meminati lagu-lagu Raya Malaysia. Hasrat saya adalah untuk membawa muzik berunsur budaya ini ke seluruh dunia agar lebih ramai mengenali keunikan Malaysia,” tambah JessC.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis seperti Kelly Azman, Syafiq Ikhwan, Fareez Hazwan Fauzi, dan Zaki Yamani.
Mereka bukan sahaja hadir memberi sokongan, malah tampil membuat persembahan kolaborasi secara langsung di pentas, menghiburkan tetamu yang hadir sempena sambutan Aidilfitri tersebut.
Nama JessC kini semakin kukuh selepas platform muzik tersohor, Rolling Stone (Australia & UK), menamakan beliau sebagai “New Artists to Watch”, sekaligus membuktikan bakat beliau mula mendapat perhatian serius pemerhati muzik di negara Barat.
Selain seni, beliau pernah meraih 12 pingat emas antarabangsa dalam bidang Wushu serta 20 pingat emas ping pong di Australia, satu cerminan gaya hidup sihat yang sentiasa dipraktikkannya di sebalik kesibukan bergelar anak seni.
