Ikuti Kami:

JessC Harumkan Nama Malaysia, Rangkul Anugerah ‘Best Asian Pop’ di Los Angeles

JessC Harumkan Nama Malaysia, Rangkul Anugerah ‘Best Asian Pop’ di Los Angeles

Malaysia sekali lagi mencatat sejarah di persada antarabangsa apabila penyanyi tempatan, JessC, berjaya membawa pulang trofi Best Asian Pop di InterContinental Music Awards 2025 (ICMA) yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Kemenangan itu dianggap pencapaian besar bukan sahaja buat kerjaya seni JessC, malah turut mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Album Mandarin JessC berjudul My Style yang menjadi taruhan telah mencatat kejayaan luar biasa di China apabila mendominasi carta penstriman dan radio.

Sementara itu, album Melayu Dekati pula mencetuskan fenomena di Indonesia, membuktikan keupayaannya menawan hati peminat di pelbagai rantau.

JessC yang ditemui selepas kemenangan itu menzahirkan rasa syukur serta menganggap anugerah tersebut sebagai penghargaan kepada semua pihak yang mendukung perjuangan seninya.

“Muzik ialah kuasa penyembuhan yang menghubungkan hati dan melangkaui budaya. Anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi buat semua peminat yang sentiasa menyokong muzik kita,” katanya.

Tidak sekadar di Asia, lagu Inggeris JessC Six Feet Deep berjaya menembusi pasaran Barat apabila diputarkan di stesen radio ternama seperti Z-100 New York, Virgin Radio Vancouver dan KIIS FM Sydney.

Kejayaan ini lebih bermakna apabila karya JessC mendapat pengiktirafan daripada juri profesional antarabangsa yang pernah bekerjasama dengan artis ternama dunia termasuk Celine Dion, Selena Gomez dan Ricky Martin.

Mereka memuji keunikan JessC yang mampu menghubungkan muzik Timur dan Barat dengan penuh harmoni.

Kejayaan di Los Angeles ini turut membuka ruang lebih luas untuk JessC, termasuk peluang menjejakkan kaki ke pentas berprestij Anugerah Grammy pada masa depan.

JessC dijadualkan memulakan siri jelajah dunia One Chance bermula di Amerika Syarikat, Eropah dan Amerika Selatan menjelang akhir tahun, melibatkan lebih 50 negara dan 100 bandar.

Peminat tempatan pula boleh menantikan kemunculannya dalam konsert My Style World Tour di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 Disember ini.

Komen
Loading...