Ikuti Kami:

Jemaah Kurang Memberangsangkan, Menteri Jemput Imarahkan Semula Masjid

Jemaah Kurang Memberangsangkan, Menteri Jemput Imarahkan Semula Masjid

Walaupun masjid yang berada dalam kawasan Wilayah Persekutuan telah dibuka sejak semalam, namun menteri agama yang juga merupakan bekas mufti, Dr Zulkifli Mohamad memaklumkan kehadiran jemaah masjid berada pada tahap kurang memberangsangkan.

Perkara itu menurutnya dilaporkan salah seorang imam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sebelum beliau kemudiannya membuat ciapan itu di akaun Twitternya pagi tadi.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang terlepas pandang bahawa masjid dan surau di zon hijau dan kuning di Kuala Lumpur telah pun dibuka dengan jumlah jemaah yang dibenarkan tidak melebihi satu pertiga daripada kapasiti keseluruhan masjid.

Justeru itu beliau meminta dalam ciapannya yang sudah mendapat lebih 3,000 retweet itu agar para jemaah kembali mengimarahkan masjid di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Jemput kita imarahkan semula masjid, surau Jumaat dan surau dalam Wilayah Persekutuan bagi yang berhampiran.

“Pastikan patuhi semua SOP yang ditetapkan,” tulisnya.

Orang ramai yang meninggalkan komen di ciapan tersebut bagaimanapun berpendapat mungkin ada sesetengah jemaah yang masih keliru dengan pembukaan masjid tersebut.

Ini kerana orang ramai masih keliru berkenaan penggunaan senarai jemaah Jumaat yang perlu mendaftar terlebih dahulu dan ada ketikanya bilangan jemaah sudah mencukupi ketika tiba di masjid.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail berkata, keputusan itu susulan perkembangan situasi semasa serta pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

“Kebenaran itu tertakluk kepada jumlah satu pertiga had kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau terlibat serta jemaah dalam kalangan warga tempatan sahaja.

“Jawi ingin mengingatkan agar segala garis panduan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah ditetapkan terus dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Foto : Berita Harian

Komen
Loading...