Jelajah Dunia ‘Rise of the Roach 2026’: Papa Roach pilih Kuala Lumpur, Singapura
- oleh MDaily Editor
- 23 Jan 2026 1:11 am
Kumpulan rock alternatif tersohor dari Amerika Syarikat, Papa Roach, mengesahkan bakal menggegar pentas Malaysia dan Singapura buat kali pertama pada Mac depan.
Kehadiran band yang cukup sinonim dengan lagu Last Resort itu adalah sebahagian daripada siri jelajah global mereka, Rise of the Roach 2026 World Tour.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions, konsert sulung ini dianggap sebagai detik bersejarah bagi komuniti peminat rock dan nu-metal tempatan yang telah menantikan kehadiran mereka selama lebih dua dekad.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hitman Group, Rohit Rampal berkata, pihaknya berbesar hati dapat membawakan sebuah kumpulan legenda yang mempunyai pengaruh besar dalam landskap muzik alternatif antarabangsa.
“Kami sentiasa teruja untuk membawa bakat antarabangsa ke rantau ini. Menampilkan Papa Roach, sebuah kumpulan yang telah berkembang maju selama lebih 20 tahun adalah satu penghormatan bagi kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Konsert di Malaysia dijadualkan berlangsung pada 29 Mac 2026 bertempat di Idea Live Arena, Kuala Lumpur. Manakala, peminat di Singapura bakal menyaksikan persembahan mereka pada 31 Mac 2026 di Arena @ EXPO.
Selain rangkaian lagu hit popular, peminat juga bakal disajikan dengan material terbaharu termasuk single Braindead yang kini sedang menduduki carta muzik global.
Papa Roach yang ditubuhkan pada tahun 1993 mula meraih kemasyhuran luar biasa menerusi album Infest (2000) dan terus konsisten dalam industri muzik menerusi evolusi bunyi yang segar namun tetap mengekalkan akar muzik rock mereka.
Di Malaysia, harga tiket ditawarkan mengikut empat kategori bermula dari RM159 sehingga RM399, manakala di Singapura pula bermula dari SGD158 sehingga SGD299.
Tiket bagi kedua-dua konsert ini akan mula dijual secara rasmi pada 28 Januari 2026, jam 12 tengah hari menerusi laman web www.hitmanlive.com.




