“JDT Tak Pernah Kalah” – Amy Search Gurau Jawab Permintaan Peminat Tukar Tarikh Konsert
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu

Penyanyi legenda, Datuk Amy Search, kekal dengan tarikh asal untuk konsert solo pertamanya walaupun ia jatuh pada hari yang sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April nanti.
Konsert Amy Search Magic First Solo Concert dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, bersebelahan dengan lokasi perlawanan di Stadium Nasional.
Hal ini mencetuskan permintaan daripada seorang peminat agar tarikh konsert itu ditukar.
Namun, Amy yang merupakan anak kelahiran Johor Bahru tetap tenang dan mengambil kesempatan untuk bergurau ketika menjawab permintaan tersebut.
“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” balas Amy kepada pengikutnya.
Jawapan bersahaja Amy itu bukan sahaja menghiburkan, malah meyakinkan peminat tersebut untuk memilih hadir ke konsertnya.
“Terbaik Datuk. Betul juga. Baiklah saya ‘on’ konsert Amy,” tulis peminat itu.
Sementara itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataannya baru-baru ini memaklumkan perubahan tarikh final Piala Malaysia kepada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Konsert ini menjadi detik bersejarah buat Amy Search, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67, yang akhirnya tampil dengan konsert solo selepas 44 tahun mencipta nama dalam industri muzik.
Tiket untuk Amy Search Magic First Solo Concert sudah mula dijual sejak 5 Februari di laman sesawang rasmi, www.wowtix.com.my.
Konsert itu dijangka mempersembahkan himpunan lagu malar segar yang telah membawa Amy ke puncak populariti sejak empat dekad lalu.
“Selepas lebih 40 tahun berkarya, ini adalah masa yang sesuai untuk saya memberikan satu persembahan istimewa buat peminat,” kata Amy.
Dengan keyakinannya terhadap kemenangan JDT dan keunikan konsert solo pertama ini, Amy percaya kehadiran peminat akan tetap memberangsangkan walaupun berlangsung pada hari yang sama dengan perlawanan besar itu.