Ikuti Kami:

Jasmin Suraya Teruja Filem Lakonannya Ke Oscar Tahun Depan

Jasmin Suraya Teruja Filem Lakonannya Ke Oscar Tahun Depan

Pelakon Jasmin Suraya meluahkan rasa teruja dan terharu apabila filem lakonannya, Pavane for an Infant, terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi (Oscar) Ke-98 yang akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), tahun depan.

Menurut Jasmin, dia tidak menyangka filem arahan Chong Keat Aun itu menerima pengiktirafan besar dan dianggap satu pencapaian yang luar biasa buat dirinya serta seluruh tenaga produksi.

“Saya memang terkejut bila dapat tahu filem ini dipilih sebab tahun ini banyak filem Malaysia yang bagus-bagus. Bila Pavane for an Infant terpilih, saya sangat bersyukur dan gembira.

“Ini kali pertama saya terlibat dalam filem yang berjaya sampai ke pentas Oscar. Ia memang satu impian besar dalam karier saya,” katanya.

Pelakon yang bernaung di bawah Mask Team itu berkata, pengiktirafan berkenaan memberi semangat baharu buat dirinya dan seluruh pasukan produksi untuk terus menghasilkan karya berkualiti.

“Filem ini bukan tentang keuntungan semata-mata, tapi lebih kepada cerita dan mesej kemanusiaan yang kuat. Saya percaya kejujuran dalam penceritaan adalah sebab utama ia mendapat perhatian,” ujarnya.

Filem terbitan Janji Pictures Production Sdn Bhd itu sebelum ini mencuri perhatian antarabangsa apabila turut tersenarai di Festival Filem New York Asia Ke-24 dan Festival Filem Golden Horse Taipei, yang dianggap antara platform paling berprestij di Asia.

“Saya rasa ini satu langkah besar untuk industri filem Malaysia. Ia bukti bahawa filem kita mampu menembusi pasaran dunia jika diberi ruang dan sokongan,” tambahnya.

Dalam Pavane for an Infant, Jasmin membawakan watak Nurul, seorang wanita yang dilahirkan sebagai khunsa.

“Cabaran utama ialah memahami perasaan dan konflik dalaman Nurul yang tidak pernah berpeluang menentukan jantina sendiri.

Saya belajar banyak perkara sepanjang penggambaran, termasuk menunggang motosikal dan mendalami cara hidup watak ini supaya lebih realistik,” katanya.

Jasmin turut mengakui banyak menerima tunjuk ajar daripada pelakon senior Ida Nerina yang bertindak sebagai jurulatih lakonan sepanjang penggambaran.

“Saya sangat bangga dapat jadi sebahagian daripada karya ini. Harap kejayaan Pavane for an Infant dapat buka peluang lebih luas untuk filem Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Selain Jasmin, filem yang ditayangkan pada Ogos lalu itu turut dibintangi Fish Liew, Natalie Hsu, Ben Yuen dan beberapa pelakon lain.

Pavane for an Infant mengisahkan Lai Sum, seorang pekerja di pusat perlindungan bayi yang membantu seorang remaja perempuan hamil bawah umur.

Namun, keputusan mereka akhirnya membawa kepada konflik besar melibatkan maruah, agama dan tekanan masyarakat.

Komen
Loading...