Ikuti Kami:

Jaqlyn Lancar Single “This Is Who I Am”, Artis Wanita Pertama Awakening Music

Jaqlyn Lancar Single “This Is Who I Am”, Artis Wanita Pertama Awakening Music

Penyanyi dan penulis lagu muda berasal dari Austria, Jaqlyn, melakar sejarah baharu apabila diumumkan sebagai artis wanita pertama di bawah label muzik antarabangsa terkemuka, Awakening Music, menerusi pelancaran single sulung berjudul “This Is Who I Am”.

Pengasas Bersama dan Pengarah Awakening Music, Bara Kherigi, menyifatkan penyertaan Jaqlyn sebagai satu langkah penting buat label tersebut.

“Kami berbesar hati menyambut Jaqlyn ke dalam keluarga Awakening Music. Mesej dan keseniannya mencerminkan kekuatan, kreativiti, serta perwakilan wanita dalam muzik Islam kontemporari,” katanya.

Dilahirkan di Graz, Austria, Jaqlyn membawa latar budaya yang pelbagai dengan darah Austria daripada sebelah ayah dan Georgia daripada sebelah ibu.

Sejak kecil, muzik sudah sebati dalam dirinya, diilhamkan oleh ibu dan nenek yang sering memperdengarkan lagu-lagu balada hebat nyanyian Céline Dion dan Lara Fabian, tokoh yang banyak membentuk gaya vokalnya kini.

Perjalanan karier Jaqlyn semakin menyerlah selepas kejayaannya di The Voice of Germany pada September 2024 apabila persembahan lagu Nothing’s Gonna Change My Love for You oleh George Benson menerima pujian sebulat suara daripada keempat-empat juri.

Persembahan tersebut meraih lebih 4 juta tontonan di YouTube, menjadikannya antara peserta yang paling menonjol dalam musim berkenaan.

Menariknya, pada Januari 2023, Jaqlyn mengambil keputusan memeluk Islam, satu langkah besar yang disifatkannya sebagai transformasi rohani dan seni.

“Memakai hijab tidak menghalang saya daripada menjadi berani atau kreatif. Malah, ia memberi kekuatan untuk saya menjadi pemimpin dan pengaruh positif,” katanya.

Kini, pada usia 23 tahun, Jaqlyn melangkah ke fasa baharu dalam karier profesionalnya di bawah naungan Awakening Music.

Single pertamanya, “This Is Who I Am”, merupakan hasil ciptaan bersama Maher Zain, artis multi-platinum dan nama besar di bawah label sama, bersama pasukan kreatif antarabangsa.

Lagu tersebut mengangkat tema identiti, keimanan, dan penerimaan diri, menonjolkan kejujuran emosi serta vokal dinamik Jaqlyn. Dengan susunan muzik yang lembut namun bertenaga, karya ini menggambarkan perjalanan dirinya mencari erti sebenar keyakinan dan jati diri.

“Merakam ‘This Is Who I Am’ terasa sangat semula jadi dan mengalir terus dari hati saya. Saya bersyukur dapat menyampaikan mesej keimanan dan kekuatan diri melalui muzik. Harapan saya agar lagu ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk menerima siapa diri mereka yang sebenar,” ujarnya.

Single “This Is Who I Am” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama di seluruh dunia mulai hari ini.

Komen
Loading...