Janna Nick Terkilan Tuduhan Terhadap Suami, Dedah Usaha IVF dan Pengorbanan Demi Cahaya Mata
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Pelakon dan pengacara Janna Nick meluahkan rasa sedih dan terkilan dengan tuduhan negatif yang ditinggalkan oleh seorang individu terhadap suaminya, Dini Schatzmann.
Janna menyatakan bahawa komen tersebut adalah sangat kurang ajar, terutama apabila menyentuh soal ketiadaan cahaya mata dalam rumah tangga mereka.
Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagramnya, Janna meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap tuduhan yang mendakwa bahawa Dini kononnya mempunyai hormon wanita yang lebih tinggi, menjadi punca mereka belum dikurniakan anak.
“Kami dah buat macam-macam yang terbaik untuk dapatkan anak. Bila orang tanya saya bila nak ada anak, saya pun tak tahu nak jawab apa. Saya pun tanya kepada Allah bila saya boleh dapat anak,” kata Janna dalam luahan jujurnya.
Tambahnya, mereka telah melalui pelbagai ujian perubatan termasuk menjalani rawatan IVF (In Vitro Fertilization), namun hasilnya masih belum memihak kepada mereka.
Malah, pada bulan Oktober yang lalu genap setahun Janna menjalani rawatan tersebut namun gagal.
“Saya dan Dini tahu keadaan kesihatan kami. Saya pun kurangkan kerja dan tak ambil kerja yang makan masa yang panjang sebab saya nak ubah cara hidup, kerja dan pemakanan,” jelasnya yang turut membuat penyesuaian dalam jadual kerjanya demi mencapai impian bergelar ibu.
Menurut Janna lagi, beliau bahkan telah mencuba pelbagai petua yang disarankan oleh orang ramai termasuk meminta rakan artis, Nabila Razali, memijak jari kakinya sebagai ikhtiar.
“Saya sangat terdesak nak anak. Nak dapatkan anak ni, adalah kerja Allah dan bukan kerja kita,” luahnya dengan penuh keikhlasan dan menyerahkan segala harapan kepada takdir.
Luahan Janna ini mendapat perhatian ramai netizen yang memberi sokongan dan kata-kata semangat agar dia dan Dini tidak berputus asa.