Ikuti Kami:

“Janjir”: Shaffiq Erwin Kongsi Kisah Pasangan Mungkir Janji

“Janjir”: Shaffiq Erwin Kongsi Kisah Pasangan Mungkir Janji

Penyanyi dan guru vokal, Shaffiq Erwin, kembali mencuri tumpuan industri muzik tempatan apabila tampil dengan single terbaharu yang berjudul “Janjir”.

Lagu ini bukan sahaja menandakan kemunculan semula Shaffiq selepas beberapa ketika menyepi, malah memperlihatkan keberanian beliau mencuba genre baharu, iaitu Rockdut gabungan unik Rock dan Dangdut.

Dikenali mesra sebagai Apit, Shaffiq mula menempatkan nama sebagai penyanyi sejak tahun 2012, namun popularitinya melonjak naik selepas kejayaan cemerlangnya dalam program realiti terbitan TV3, Famili Duo.

Gandingan one-off beliau bersama penyanyi terkenal, Ara Johari, pada Famili Duo Season 1 (2020) telah menobatkan mereka sebagai juara episod ‘Saudara’, manakala penyertaan mereka dalam Season 2 (2023) berjaya membawa mereka hingga ke peringkat separuh akhir.

Kini, Shaffiq tampil dengan karya terbaharu yang sarat emosi. “Janjir” mengisahkan tentang kepahitan dalam perhubungan apabila janji kesetiaan yang pernah dilafazkan akhirnya dimungkiri.

Liriknya menelusuri kisah di mana salah seorang pasangan memilih untuk meninggalkan janji, namun cuba kembali semula apabila berhadapan dengan kesusahan.

Sentuhan lirik yang dekat dengan hati pendengar ini dijangka mampu memberikan impak emosi yang mendalam.

“Janjir” merupakan hasil ciptaan dan terbitan bersama antara Rudy Nastia, Aizad Khan, dan Shaffiq Erwin sendiri di bawah naungan Sevoce Studio serta edaran Universal Music.

Aspek visual muzik video (MV) “Janjir” juga menarik perhatian dengan pemilihan tema warna yang meriah iaitu merah jambu dan putih.

MV ini turut menampilkan kolaborasi bersama beberapa jenama dan personaliti seperti Kunafa Aiwah, Anas Lips Serum dan Heetam Puteh, di samping proses suntingan oleh Shiha Zikir Empire.

Lagu “Janjir” boleh mula didengari di saluran YouTube dan kesemua platform digital utama bermula 12 November 2025.

Komen
Loading...