Ikuti Kami:

Janji With Dayang: Ratusan Peminat Terbuai Suara Emas Di Puncak Kota

Janji With Dayang: Ratusan Peminat Terbuai Suara Emas Di Puncak Kota

Foto Oleh: Mohd Rizza.

Showcase eksklusif Janji With Dayang membuktikan kehebatan penyanyi tersohor negara, Dayang Nurfaizah, apabila suaranya yang lunak dan penuh penghayatan berjaya menawan hati ratusan peminat yang membanjiri Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Berlatarbelakangkan panorama bandar raya yang diterangi cahaya malam, showcase anjuran Usanita Entertainment dan Mask Team itu tampil sebagai sebuah persembahan yang bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah pengalaman emosi yang intim dan bermakna.

Biarpun mengakui tidak berada dalam keadaan sihat sepenuhnya, Dayang tetap menggagahkan diri demi menghargai peminat yang hadir.

Katanya, biarpun berdepan masalah kesihatan, ia tidak pernah menjadi alasan untuk tidak memberikan yang terbaik di pentas.

“Ya, memang saya tidak sihat. Telinga berdengung, tekak pun rasa berkeladak. Tapi saya tidak mahu menjadikannya alasan untuk mengecewakan peminat. Mereka sanggup berpanas dan mendaki bukit untuk bersama saya, jadi saya juga harus berikan yang terbaik,” katanya.

Dayang, 43, menghidupkan pentas dengan membawakan rangkaian lagu popular termasuk daripada album terbaharunya Janji antaranya Hakikat Cinta, Mungkin Ke?, Lemah, Aku, Akhirnya Bahagia dan Mencintai Cinta, sebelum malam ditutup dengan lagu ikoniknya, Dayang Sayang Kamu.

Showcase dimulakan dengan persembahan pembuka daripada Anwar Amzah dan Naki sebelum Dayang menguasai pentas dengan aura tersendiri.

Pengarah muzik berpengalaman, Sze Wan, mengemudi persembahan dengan susunan muzik segar yang mengangkat kekuatan vokal Dayang, menjadikan setiap lagu hadir dengan nafas baharu namun tetap mengekalkan jiwa asli.

Selepas kejayaan penganjuran di Pulau Pinang bulan lalu, siri kedua Janji With Dayang di Kuala Lumpur ini menutup tirai dengan penuh bergaya, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara persembahan paling eksklusif dalam kalender muzik tanah air tahun ini.

Komen
Loading...