Seorang pelajar perempuan dari Bintulu, disahkan positif COVID-19 hari ini dikenal pasti mangsa pertama jangkitan yang dialami ketika sambutan Aidilfitri di negeri ini.
Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Mukah itu, dikatakan balik ke kampungnya di Bintulu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada pertengahan Mac lalu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya, berkata siasatan awal mendapati pelajar terbabit menerima kunjungan saudara mara pada perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
Justeru katanya, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu kini sedang mengesan semua kontak rapat kepada pelajar terbabit.
“Punca jangkitan masih lagi dalam siasatan buat masa ini dan kes ini dikesan melalui saringan pelajar IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Sarawak seperti yang diarahkan oleh JPBN.
“Difahamkan kes pernah menerima kunjungan saudara mara pada perayaan Aidilfitri yang lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan kes terbaharu itu, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak sehingga kini direkodkan sebanyak 557 kes.
Sementara itu, beliau berkata tiada kes baru yang sembuh dan discaj dari hospital, hari ini sekali gus jumlah keseluruhan kes positif
COVID-19 yang telah sembuh dan discaj kekal seramai 533 orang.