IKLAN

Jangan Terlalu Kejar Masa, 'Rider' Diingatkan Sentiasa Berhati-hati

KUALA LUMPUR, 30 April -- Penunggang motosikal yang melakukan penghantaran makanan dan barangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini dinasihatkan supaya tidak terlalu mengejar masa sehingga membahayakan nyawa mereka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata mereka perlu mengutamakan keselamatan semasa memberikan perkhidmatan penghantaran.

“Penghantar makanan dan barang ini jangan terlalu mengejar masa dan trip atau mengambil kesempatan memandu dalam keadaan laju kerana ia bahaya.

“ Mereka perlu sentiasa beringat dan berhati-hati terutama kini musim hujan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata memandangkan keadaan jalan raya yang tidak sibuk, semua pihak harus berhati-hati kerana ada yang akan mengambil kesempatan memandu dalam keadaan laju.

IKLAN

Dalam tempoh PKP, kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal penghantar makanan dan barangan kerap dilaporkan media.

Antaranya, pada 18 April lepas, seorang penghantar makanan berusia 33 tahun, cedera parah selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan lain di Kilometer 29.9 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Plaza Tol Duta menghala ke pusat bandar.

Pada hari yang sama, seorang penghantar makanan berusia 19 tahun yang baru memenuhi tempahan pelanggannya, maut apabila motosikal dinaikinya diseret sejauh kira-kira 10 meter selepas berlanggar dengan sebuah lori di simpang empat Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka.

Semalam, seorang pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian berusia 21 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru Impian menghala ke Meru, Klang.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan penunggang e-hailing serta penghantar makanan dan barangan supaya mematuhi undang-undang jalan raya susulan polis menerima laporan, ramai penunggang didapati tidak mematuhi undang-undang seperti melanggar lampu isyarat merah.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN