Jangan Panggil Aku Gus Meledak di Indonesia, Netizen Puji Keberanian Erma Fatima
- oleh MDaily Editor
- 6 Mar 2026 12:42 pm
Drama terbaharu arahan Erma Fatima, Jangan Panggil Aku Gus, mencetuskan fenomena luar biasa di Indonesia apabila karya tersebut mendapat sambutan hangat di media sosial negara jiran itu.
Audiens di Indonesia menyifatkan karya tersebut sebagai sebuah naskhah berani yang membentangkan realiti masyarakat secara telus.
Ramai pengguna media sosial memberikan pujian tinggi kepada Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 58, kerana keberaniannya mengetengahkan isu penyalahgunaan agama yang sering kali dianggap sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap keberanian pengarah itu dalam menyelongkar sisi gelap realiti semasa.

Seorang pengguna media sosial dalam satu hantaran tular di TikTok menulis, “Sungkem (sujud) buat yang bikin karya ini. Sampai ada yang protes, maksudnya apa kalian semua,” sebagai tanda penghormatan terhadap keberanian naskhah tersebut.
Bagi penonton di Indonesia, pemilihan pengarah dari Malaysia untuk mengangkat kisah ini dianggap sebagai satu kombinasi yang sempurna.
Seorang lagi penonton berkongsi pandangan bahawa “filem dari pengarah Malaysia tentang realiti di Indonesia adalah kombinasi yang sempurna.”
Namun, ramai juga yang menjangkakan drama ini bakal berdepan dengan cabaran memandangkan isu yang dibawa sangat sensitif.
Salah satu komen yang mendapat perhatian menyebut, “Angkat kisah benar sangat ini. Adakah karya ini akan didemo? Ada yang berani. Para gus-gus dan habib-habib pasti tidak suka sama cerita ini.”

Dalam pada itu, audiens turut menyambut baik usaha Erma dalam mempelbagaikan kandungan drama yang disifatkan lebih matang.
Seorang netizen menyatakan harapan agar karya seperti ini menjadi penanda aras baharu dengan menulis, “Normalisasikan karya-karya sebegini, bukannya filem-filem tentang anak sekolah menengah yang sudah pandai berpacaran.”
Drama ini menampilkan watak utama, Gus Jarfan, yang digambarkan dengan sisi kontroversi termasuk gaya hidup mewah dan kurang bertanggungjawab terhadap keluarga.
Watak tersebut mencetuskan perbincangan hangat tentang bagaimana gelaran agama atau keturunan sering disalahgunakan demi kepentingan peribadi serta keistimewaan yang tidak sepatutnya.

Selain kekuatan skrip, drama ini juga menjadi perhatian kerana menggabungkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Bara Valentino, Lukman Sardi, Elina Joerg, Bima Samudera, Anna Jobling, Puteri Sarah, Umie Aida dan Vanida Imran.
Kolaborasi rentas negara ini dilihat berjaya membawa nuansa budaya serta isu serantau dengan lebih mendalam dan berimpak.
Setelah hampir 10 tahun tidak mengarahkan drama secara sepenuhnya, kemunculan semula Erma Fatima menerusi naskhah ini dianggap sebagai satu langkah berani dalam perjalanan seni beliau.
Drama Jangan Panggil Aku Gus kini disiarkan secara rasmi di aplikasi Karya Reels bermula 5 Mac 2026.




