Ikuti Kami:

‘Jangan Gadai Akhirat Demi Keuntungan Dunia’ – PU Riz Ulas Isu Program Terbuka

‘Jangan Gadai Akhirat Demi Keuntungan Dunia’ – PU Riz Ulas Isu Program Terbuka

Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, mengingatkan semua pihak agar tidak menggadaikan kepentingan akhirat semata-mata demi mengejar keuntungan duniawi dalam penganjuran sebarang program.

​Beliau menegaskan, setiap penganjuran acara khususnya yang berlangsung secara terbuka perlu meneliti aspek kepatuhan syariah bagi mengelakkan unsur kemaksiatan daripada terus berleluasa.

​“Janganlah kerana keuntungan dunia, kita sanggup mengorbankan perkara yang melibatkan akhirat. Keseimbangan itu penting,” katanya ketika mengulas mengenai sebuah program yang tular di sekitar Bukit Bintang, baru-baru ini.

​Menurut PU Riz, umat Islam mempunyai kewajipan besar untuk mencegah kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing, sama ada melalui tindakan, lisan mahupun hati.
​Beliau turut memetik prinsip asas dalam Islam yang menuntut perubahan dilakukan serta-merta apabila melihat sesuatu yang bercanggah dengan ajaran agama.

​“Sebagai umat Islam, kita diajar bahawa sesiapa yang melihat kemungkaran, maka wajib baginya untuk mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisan, dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan itulah selemah-lemah iman,” jelasnya.

​Mengulas lanjut, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap trend perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan (mujahirin). Jelasnya, tindakan sedemikian adalah lebih dibenci oleh Allah SWT berbanding dosa yang dilakukan secara tersembunyi.

​“Rasulullah SAW menyebut bahawa semua umatnya akan diampunkan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Justeru, kita perlu ada sifat malu dan tidak berbangga dengan perbuatan maksiat,” tambah beliau lagi.

​PU Riz turut menekankan bahawa kemakmuran sesebuah negara bukan hanya diukur melalui material semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keberkatan yang datang daripada pemeliharaan nilai dan akhlak.

​“Negara yang baik adalah negara yang menjaga nilai dan menjauhkan kemungkaran. Dari situlah datangnya keberkatan dalam kehidupan,” ujarnya mengakhiri kenyataan.