Ikuti Kami:

Jangan Berbangga, Polis Sudah Kenal Pasti Keluarga Lepasi Sekatan Jalan Raya

Jangan Berbangga, Polis Sudah Kenal Pasti Keluarga Lepasi Sekatan Jalan Raya

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sebuah keluarga yang menularkan gambar berjaya melepasi sekatan jalan raya selepas menipu dengan mengatakan mahu membawa anak ke klinik.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, menegaskan, tiada siapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan.

“Semalam tular di media sosial mengenai ahli keluarga menunjukkan mereka pulang ke Kuala Lumpur dan memberi tip bagaimana cara untuk menipu polis.

“Saya nak ingatkan jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mempengaruhi orang lain supaya mengikut tindak-tanduk melanggar PKP.

“Pihak polis sudah mengenal pasti dan tindakan akan diambil. Tiada siapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, tambahan pula mereka mengaku (di laman sosial) ingkar kepada arahan dan peraturan di bawah PKP.

“Jadi tolong jangan berbangga dan menganggap diri kita sebagai hero apabila melakukan kesalahan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Semalam, tular di media-media sosial sebuah keluarga yang terdiri daripada dua dewasa, seorang kanak-kanak dan seorang bayi sedang berada di dalam sebuah kereta.

“Alhamdulillah, dah selamat sampai KL bawa satu keluarga.

“Tips dia, hendak bawa anak pergi hospital, anak-anak di belakang tiada orang jaga,” demikian kapsyen pada gambar berkenaan.

Ismail Sabri mengulangi amaran yang polis mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar PKP mengikut Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, Seksyen 3.1 Akta 342 menyatakan Menteri Kesihatan boleh melantik mana-mana orang yang sesuai untuk menjadi pegawai penguat kuasa dan diberi kuasa menahan mereka yang ingkar PKP.

“Semalam ada yang mengatakan polis tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah PKP ini dan mengeluarkan waran.

“Seksyen 3.1 memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan melantik mana-mana pegawai termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di laut untuk melaksanakan segala peraturan di bawah Akta 342.

“Malah Seksyen 3.2 akta sama menyebut pegawai yang dilantik itu diberi kuasa untuk bertindak dalam bidang kuasa dan kewajipannya mengikut akta itu,” katanya

Komen
Loading...