‘Jamming For Charity’ Kumpul Dana Kecemasan Untuk Artis Uzur
- oleh MDaily Editor
- 15 Dec 2025 11:05 am
Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3PM) bakal menganjurkan sebuah program amal besar-besaran, ‘Jamming For Charity’, esok (16 Disember 2025) sebagai usaha pantas mengumpul dana bagi membantu dua penggiat seni tempatan yang sedang berdepan masalah kesihatan kritikal dan hilang sumber pendapatan.
Program yang diketuai oleh Pengerusi 3PM sendiri, Aris Ariwatan, ini bertujuan memberi sokongan kewangan kepada Tedy Iskandar (pemain keyboard kumpulan UG14) dan Raja Iskandar atau Is WOW (pemain keyboard kumpulan WOW) yang kini diuji dengan masalah kesihatan serius, termasuk serangan strok.
Menurut Pengurusan Artis dan Persembahan program merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) 3PM, Abdul Wahab bin Zainudin atau lebih dikenali sebagai Wom UG14, penganjuran program ini tercetus atas dasar keprihatinan terhadap nasib pemuzik sepenuh masa yang hilang upaya untuk mencari rezeki.
“Apabila pemuzik sepenuh masa jatuh sakit, mereka bukan sahaja hilang punca pendapatan, malah berdepan kesukaran menanggung kos perubatan dan perbelanjaan harian keluarga. Atas dasar keprihatinan ini, saya mencadangkan kepada pihak 3PM untuk menganjurkan program amal ini,” kata Wom UG14.

Acara yang akan berlangsung pada 16 Disember 2025, bermula jam 8 malam di Banafee Cafe, Jalan Ampang, Kuala Lumpur ini akan menampilkan konsep santai, mesra, dan penuh solidariti.
Seramai 15 penghibur dijangka akan membuat persembahan percuma, termasuk nama-nama besar seperti Aris Ariwatan, Wom UG14, Baggio, Poey (Sting), Isa Graviti, dan Shafie RIO.
Persembahan pada malam tersebut adalah percuma sebagai tanda solidariti artis terhadap misi kebajikan ini.
Pengunjung yang hadir dijemput untuk memberi sumbangan secara sukarela menerusi tabung sumbangan serta kod QR rasmi 3PM yang menjamin ketelusan.
Setiausaha 3PM, Nurol Nadzir, menegaskan bahawa segala kutipan akan diumumkan pada malam itu juga, dan dana tersebut akan diserahkan secara terus kepada kedua-dua penerima, Is WOW dan Tedy UG14.
“Kami menitikberatkan aspek ketelusan bagi mengelakkan sebarang isu berkaitan sumbangan. Segala kutipan akan diuruskan secara terbuka dan telus,” ujar Nurol Nadzir.
Wom UG14 turut menyatakan harapan agar inisiatif sebegini dapat diperluaskan dengan sokongan agensi kerajaan seperti PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia, yang turut dijemput hadir ke majlis tersebut.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan moral dan sumbangan pada malam esok kerana setiap kehadiran dan sumbangan membawa makna besar kepada kelangsungan kebajikan artis tempatan.
Foto Oleh: Papadin.




