Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3PM) berjaya menganjurkan program amal kedua mereka, ‘Jamming For Charity’, yang meraih sambutan luar jangkaan.
Acara yang berlangsung di Banafee Cafe, Jalan Ampang, pada malam semalam berjaya mengumpulkan dana sebanyak bagi membantu penggiat seni tempatan Raja Iskandar (Is WOW) dan Tedy Iskandar (UG14) yang berdepan masalah kesihatan dan kehilangan sumber pendapatan.
Presiden 3PM, Aris Ariwatan, melahirkan rasa syukur atas sokongan yang diterima walaupun program dirancang pada saat akhir.

“Alhamdulillah malam ini sambutan memang luar biasa. Saya sendiri yang pergi meja ke meja untuk mengutip tabung (derma) itu. Kami doakan agar kutipan yang diterima ini cukup untuk membiayai apa yang patut kepada sahabat kami,”
“Is WOW kini sedang didiagnosis doktor untuk kencing manis, darah tinggi, jantung, dan ini adalah serangan strok kali kedua. Agak teruk sedikit,” katanya.

Pengisian utama acara merangkumi sesi jamming santai yang menampilkan persembahan daripada artis-artis otai dan legenda muzik tempatan, termasuk Aris Ariwatan, Wom UG14, Baggio, Poey (Sting), Isa Graviti, Shafie RIO, Azura Aziz, Cheb Ali dan ramai lagi.
Aris Ariwatan menegaskan bahawa kutipan dana dilaksanakan secara telus menerusi tabung sumbangan dan kod QR rasmi 3PM.
Meskipun persatuan baharu, mereka memilih untuk menjalankan program secara ad hoc (segera) kerana masalah kesihatan rakan-rakan memerlukan tindakan pantas.
“Kami hanya buat sekadar yang kapasiti kita mampu, dan telus. Ini adalah siri yang kedua. Siri pertama dua tahun lalu adalah untuk ahli Ali XPDC, Dwan Olan, dan Ibnor Riza. Sambutan kedua-duanya luar jangkaan,” katanya.

Penganjuran program ini turut mendapat sokongan dan perhatian daripada beberapa agensi termasuk PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia, sebagai langkah awal ke arah kerjasama lebih luas pada masa hadapan.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof yang turut hadir berkata bahawa beliau akan melanjutkan perbincangan untuk melihat bentuk-bentuk bantuan yang boleh ditawarkan kepada persatuan dan penggiat seni.
Datuk Azman turut menggunakan platform ini untuk menyeru semua penggiat seni mengambil perlindungan sosial.

“Saya bersetuju untuk hadir malam adalah supaya kita buka balik kefahaman orang ramai tentang perlunya satu perlindungan. Carilah satu bentuk sistem perlindungan. Dalam kerajaan, kita ada PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” tegas beliau.
Beliau berharap acara ini menjadi ‘showcase’ untuk meningkatkan kesedaran agar penggiat seni tidak berada dalam keadaan susah di kemudian hari jika tidak mengambil skim perlindungan yang ditawarkan.
Foto Oleh: Papadin.




