James Ng, Hubert Wu dan Moon Lau Bakal Gegarkan Arena of Stars pada 28 Jun Ini!
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Para peminat hiburan dari Hong Kong bakal disajikan dengan persembahan istimewa apabila tiga bintang popular TVB, James Ng, Hubert Wu, dan Moon Lau akan bergabung tenaga untuk menjayakan konsert Hey June Music Party di Arena of Stars, Genting Highlands pada 28 Jun 2025, jam 6 petang.
James Ng, penyanyi, pelakon dan penghibur serba boleh, terkenal dengan pesona tersendiri, bakal menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hit seperti A Song Touched by Sunshine dan Turns Out She Didn’t Love Me Enough.
Dua kali dinobatkan sebagai “My Favorite Male Singer” di Ultimate Song Chart Awards, James juga semakin menyerlah dalam dunia lakonan menerusi drama seperti From Hong Kong to Beijing, The QUEEN of News, dan Forensic Heroes VI Redemption. Beliau turut dikenali sebagai artis yang aktif dalam bidang sukan.
Turut serta ialah Hubert Wu, yang digelar “Prince of OST”. Sejak mencipta nama sebagai naib juara The Voice 2 dan menjuarai TVB International Chinese New Talent Singing Championship pada tahun 2010, Hubert telah merakamkan lebih 20 lagu tema drama TVB yang ikonik, menjadikan suaranya sinonim dengan drama-drama hit dan meraih gelaran “Prince of Love Songs”.
Melengkapkan trio bintang ini ialah Moon Lau, yang mula dikenali selepas meraih tempat ketiga dalam pertandingan Miss Hong Kong 2013.
Moon terus melonjak popular menerusi watak pemenang anugerahnya sebagai Miss Ko dalam A Fist Within Four Walls, serta lakonan cemerlang dalam The Exorcist’s 2nd Meter dan Anonymous Signal. Keanggunan, karisma dan kehadirannya yang memukau dijangka bakal menyerikan pentas Arena of Stars.
Tiket pra-jualan untuk pemegang kad kredit Visa dan ahli GRC Gold ke atas akan dibuka pada 7 Mei 2025 jam 12 tengah hari, manakala jualan umum bermula 13 Mei 2025 jam 12 tengah hari.
Harga tiket bermula daripada RM118 (PS3) hingga RM418 (VIP), dengan bayaran pemprosesan tambahan sebanyak RM4.00.
Ahli GRC (Genting Rewards Card) layak menerima diskaun 10% untuk kategori VIP, PS1 dan PS2 menggunakan tunai, kad kredit atau mata ganjaran Genting.
Untuk pembelian tiket atau maklumat lanjut, layari www.rwgenting.com atau ikuti saluran media sosial rasmi Resorts World Genting.