Jamal Abdillah: Isu Perceraian Selebriti Tidak Perlu Disensasikan
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 65, berpendapat bahawa isu perceraian selebriti yang menjadi perbualan hangat kini tidak perlu disensasikan.
Menurut Jamal, setiap individu mempunyai takdir hidup yang tersendiri, termasuk dalam soal jodoh dan perkahwinan.
“Secara jujur, saya tidak banyak mengikuti hal ini (perceraian), namun ada juga mendengarnya. Apa pun, kita lakukan kerja kita sahaja dan serahkan selebihnya kepada Tuhan.
“Bagi yang sudah berkahwin, mereka akan melalui proses kehidupan yang pelbagai. Semua itu perlu dihadapi dengan sendiri. Saya pun sudah melalui fasa itu… Jadi, bagi saya, kita berserah dan merancang yang terbaik. Selebihnya, biarlah Tuhan yang menentukan.
“Sekarang, fokus saya hanya kepada anak-anak. Saya ada lima orang anak, jadi saya hanya mahu membesarkan mereka sebaik mungkin dan berdoa untuk kebaikan,” katanya dalam sidang media Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di sini, hari ini.
Jamal dan isterinya, Datin Zai Izzati, yang berkahwin pada April 2017, dikurniakan empat anak dan dijangka menyambut kelahiran anak kelima pada Januari depan. Jamal turut mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.
Mengakui berhadapan dengan godaan peminat, Jamal berkata, beliau berusaha untuk menjaga keharmonian rumah tangga dengan mengelakkan situasi yang boleh membawa masalah.
“Ada yang minat dengan saya, tapi bila ada unsur begitu (godaan), saya akan cuba elak dan mengundur diri. Fikiran saya hanya pada isteri dan anak-anak saya.
“Lagipun, saya bukan muda lagi… Sudah 65 tahun, anak pun sudah lima orang. Cukuplah, saya sudah tua,” tambahnya.
Mengenai persiapan konsert yang dijadualkan pada 15 Februari tahun depan, Jamal berharap ia akan menjadi kenangan terindah buat dirinya dan peminat.
“Alhamdulillah diberi peluang untuk sekali lagi beraksi di pentas konsert. Apa yang paling saya risaukan adalah jika peminat tidak terhibur pada malam itu.
“Saya perlu sediakan lagu-lagu yang membuat peminat puas hati dan menjadi memori sepanjang hayat mereka,” katanya.
Konsert ini mengambil inspirasi dari dua lagunya yang ikonik, Sandarkan Pada Kenangan dan Azura, di mana Jamal mengajak peminat untuk kembali mengenang era 1980-an. Peminat yang hadir turut digalakkan berpakaian mengikut tema era tersebut.
Acara yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur ini akan menampilkan Wany Hasrita sebagai penyanyi jemputan untuk lagu Sandarkan Pada Kenangan, bersama beberapa artis lain yang masih dirahsiakan.