Jalan Pulang Temui Peminat Filem Seram Di Malaysia Julai Ini
- oleh Mohd Indera
- 22 Jul 2025 8:17 am

Peminat filem seram di Malaysia bakal disajikan dengan sebuah lagi naskhah menarik apabila filem seram psikologi, Jalan Pulang, dijadualkan mula menemui penonton tempatan di pawagam GSC Cinemas seluruh negara bermula 24 Julai ini.
Filem ini yang sebelum ini meraih sambutan hangat di Indonesia menampilkan kisah penuh emosi tentang pengorbanan seorang ibu yang berdepan sumpahan aneh terhadap anaknya.
Watak Lastini yang dilakonkan oleh Luna Maya mengangkat kekuatan seorang wanita yang sanggup mengharungi apa sahaja demi menyelamatkan anaknya, Arum, daripada ancaman maut yang dipercayai berpunca daripada sumpahan spiritual.
Perjalanan mereka merentas Jawa bukan sahaja penuh cabaran, malah turut dihantui pelbagai gangguan mistik yang menyeramkan.
Selain Luna Maya, filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Shareefa Daanish, Taskya Namya dan Saskia Chadwick yang masing-masing membawakan watak dengan penuh berkesan, sekali gus menghidupkan naskhah ini dengan lebih realistik.
Jalan Pulang mendapat perhatian ramai apabila mencatat kejayaan cemerlang di Indonesia dengan meraih lebih satu juta penonton hanya dalam tempoh tujuh hari tayangan.
Pujian turut diberikan kepada pengarah baharu, Jeropoint, atas keberanian membawa tema kekeluargaan dan mistik ke layar perak dengan gaya yang segar dan menyentuh hati.
Filem ini menampilkan elemen budaya, kepercayaan tradisional dan latar yang cukup kuat, menjadikan ia bukan sekadar tontonan seram biasa, malah menawarkan penceritaan penuh nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
Penonton Malaysia boleh mendapatkan tiket Jalan Pulang menerusi laman rasmi GSC Cinemas atau aplikasi mudah alih mereka.
Bagi yang menggemari filem seram dengan gabungan unsur kekeluargaan dan mistik yang kuat, Jalan Pulang pastinya tidak harus dilepaskan.