Ikuti Kami:

Jakel Lancar Kempen Raya Mendonia 2025 dengan Barisan 10 Duta

Jakel Lancar Kempen Raya Mendonia 2025 dengan Barisan 10 Duta

Jakel, gedung tekstil terkemuka negara, melancarkan kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 dengan memperkenalkan barisan 10 duta terpilih untuk mempromosikan koleksi pakaian Aidilfitri eksklusif tahun ini.

Kempen ini mempersembahkan gabungan duta yang mewakili pelbagai generasi, termasuk selebriti terkenal seperti Fattah Amin, Amira Othman, Nabil Ahmad sekeluarga, Elly Mazlein, Anzalna sekeluarga, Cik Epal, tiktoker Sallywho sekeluarga, Senariounion, serta watak animasi kegemaran ramai, Upin & Ipin.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata pemilihan duta ini bertujuan mempelbagaikan penyampaian kempen kepada pelanggan dari semua peringkat umur.

“Jakel sentiasa menekankan kualiti dalam setiap koleksi kami. Tahun ini, fabrik yang digunakan lebih tebal tetapi tidak panas, mudah kering, dan breathable. Jahitan juga lebih kemas dan rapi untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan.

“Koleksi kami merangkumi pelbagai lapisan masyarakat – ibu, ayah, remaja, dewasa, dan kanak-kanak – pada harga mampu milik, sejajar dengan matlamat kami memastikan semua golongan dapat menikmati Aidilfitri dengan penuh gaya,” katanya semasa majlis pelancaran di Jakel Mall, di sini hari ini.

Kempen tahun ini turut menampilkan warna-warna trend terkini seperti Emerald Green, Burgundy, Dark Pink, Fuchsia, dan Powder Blue, yang bakal menambah keceriaan sambutan Aidilfitri.

Selain itu, Jakel juga menawarkan koleksi istimewa dengan harga menarik, termasuk Baju Melayu Madani pada harga RM99 sepasang, lengkap dengan samping percuma bernilai RM49, serta Baju Melayu Fattah Amin pada RM149 sepasang, dengan samping percuma bernilai RM99.

Berkenaan sasaran jualan, Datuk Seri Mohamed Faroz menjelaskan bahawa Jakel menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lalu.

Untuk merealisasikan sasaran ini, Jakel menambah stok kepada sejuta pasang pakaian untuk ibu bapa, dan 1.5 juta pasang untuk koleksi pakaian sedondon.

Bagi memastikan keselesaan pelanggan, Jakel menyediakan lebih 2,700 ruang parkir, surau, dan tandas khas di semua gedung mereka.

Komen
Loading...