Ikuti Kami:

JAIS Arah Tangguh Semua Program Ceramah Ustaz Don

JAIS Arah Tangguh Semua Program Ceramah Ustaz Don

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan serta tidak mengundang Ustaz Don Daniyal Don Biyajid pada 21 Jun lalu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh ustaz berkenaan yang disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) amat berkenan dan menekankan kepada semua pemegang tauliah supaya umat Islam di negeri Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS semalam memutuskan Ustaz Don Daniyal perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa terhadap beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat olehnya.

“Ini selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.

“Berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“JAIS berharap semua pihak di negeri Selangor dapat bekerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan membabitkan Ustaz Don Daniyal sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS,” katanya.

Sumber
Harian Metro
Komen
Loading...