Ikuti Kami:

“Jahat” Penuhi Impian Wany Hasrita Untuk Nyanyikan Lagu ‘Galau’

“Jahat” Penuhi Impian Wany Hasrita Untuk Nyanyikan Lagu ‘Galau’

Penyanyi popular, Wany Hasrita, meluahkan rasa gembira dan teruja apabila dapat menyanyikan lagu bertemakan ‘galau’, sebuah genre yang sudah lama diimpikannya.

Penyanyi yang sinonim dengan genre irama Malaysia dan etnik kreatif itu kembali memikat hati peminat dengan single terbarunya yang berjudul “Jahat”.

“Sejujurnya, saya memang sudah lama menyimpan impian hendak menyanyikan lagu pop balada yang betul-betul ‘galau’. Pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus jatuh hati,” kata Wany.

Lagu yang diterbitkan oleh Sony Music Malaysia ini telah dipilih sebagai lagu tema rasmi untuk drama bersiri Pabila Dia Tersenyum, yang kini ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Viu.

Drama yang sarat dengan tema cinta, penderitaan dan kekuatan wanita ini, turut memanfaatkan kekuatan lirik dan melodi “Jahat” untuk memperkukuhkan naratif emosi yang ditonjolkan.

Proses rakaman vokal “Jahat” berlangsung dengan sangat pantas, hanya memakan masa sekitar tiga jam. Namun, walaupun proses tersebut singkat, Wany mengakui bahawa ia memerlukan penghayatan yang mendalam dari segi emosi.

“Saya benar-benar memberikan jiwa dan perasaan saya dalam setiap bait lagu ini. Emosi itu memang datang semula jadi,” tambahnya.

Lagu ini turut menyaksikan kolaborasi Wany dengan komposer ternama Indonesia seperti Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt, dan Trakast.

Gabungan pengalaman komposer-komposer ini menghasilkan karya yang bukan sahaja mendalam dari segi muzik, tetapi juga menyentuh perasaan mereka yang mendengarnya.

“Saya sangat bersyukur apabila lagu ‘Jahat’ dipilih sebagai OST untuk drama ini. Ia bukan sekadar peluang untuk karya saya didengari, tetapi juga untuk diserap masuk ke dalam cerita yang kuat dan menyentuh hati,” ujar Wany lagi.

Selain itu, muzik video “Jahat” yang turut diterbitkan memperkukuh maksud lagu dengan visual yang menggambarkan perasaan kekeliruan dan kesakitan yang dialami oleh watak utama, seorang wanita yang kelihatan tenang di luar tetapi terperangkap dalam hubungan yang penuh manipulasi emosi.

“MV ini sangat dekat dengan lagu dan maksudnya. Saya tidak perlu ‘acting’ pun sebenarnya, kerana emosi itu memang datang sendiri semasa rakaman video,” kata Wany.

Wany berharap lagu “Jahat” dapat menjadi teman bagi mereka yang sedang melalui fasa kekecewaan atau penderitaan dalam hubungan.

“Lagu ni memang berat dari segi emosi, tetapi saya percaya dalam setiap lagu sedih pun ada keindahan dan kekuatannya tersendiri. Saya berharap ia boleh menjadi ‘peneman’ buat sesiapa yang sedang melalui fasa susah ini,” jelas Wany lagi.

Single “Jahat” kini sudah tersedia di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi boleh ditonton melalui saluran YouTube rasmi Wany Hasrita.

Komen
Loading...