Ikuti Kami:

Jaclyn Chia & Yunk G Lancar Single ‘Redam’

Jaclyn Chia & Yunk G Lancar Single ‘Redam’

Penyanyi bersuara merdu dari Sabah, Jaclyn Chia, bersama rapper tempatan, Yunk G, tampil dengan single duet terbaharu berjudul Redam yang dilancarkan secara rasmi semalam.

Lagu bergenre balada introspektif dengan sentuhan akustik dan rap itu menampilkan tentang luka, kehilangan serta usaha untuk meredam rasa yang tidak terucap.

“Lagu ini sangat sayu dan peribadi buat saya. Ia seperti menulis surat kepada diri sendiri yang sedang terluka, tetapi masih cuba untuk terus hidup,” kata Jaclyn.

Redam dicipta oleh Shaifulhan Saidin dengan lirik oleh D’Laila, diterbitkan oleh Zirbad Music Production dan diedarkan oleh Luncai Emas.

Projek ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia melalui Dana Kreatif (MyCreative Ventures).

Menurut Shaifulhan, gabungan vokal Jaclyn dan rap Yunk G melahirkan sebuah karya yang menyentuh perasaan serta mampu memberi kesan mendalam kepada pendengar.

Sementara itu, Yunk G atau nama sebenar AG Sri Iskandar Bahrin berkata lagu ini membawa suara mereka yang sering memendam perasaan.

“Saya percaya muzik harus bercakap jujur. Dalam Redam, saya mahu bawa perspektif mereka yang sering menyembunyikan luka kerana takut dilihat lemah,” jelasnya.

Jaclyn sebelum ini pernah mempersembahkan lagu Joget Mengikut Rasa ciptaan Shaifulhan dengan lirik oleh S. Amin Shahab di bawah label Luncai Emas, selain dinobatkan sebagai Juara RTM Kemuncak Bintang Ai FM 2024.

Sementara itu, Yunk G aktif di persada muzik tempatan dengan beberapa single termasuk Aku Shot, runut bunyi filem Adiwira terbitan Ajai.

Video muzik Redam yang kini ditayangkan di saluran YouTube Luncai Emas menampilkan visual simbolik yang menggambarkan perjalanan seseorang dalam melepasi bayangan silam.

Single ini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.

Komen
Loading...