Jackie Chan dan Ralph Macchio Bergabung dalam Karate Kid: Legends, Dua Legenda Bersatu dalam Aksi Terbaru
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Dua ikon dunia seni mempertahankan diri, Jackie Chan dan Ralph Macchio, kembali menghidupkan semangat Karate Kid menerusi filem terbaharu bertajuk Karate Kid: Legends.
Filem ini menyatukan dua generasi “sensei” dalam sebuah kisah penuh aksi, nilai murni dan warisan.
Jackie Chan kembali sebagai Mr. Han, guru kung fu yang dikenali dalam versi reboot Karate Kid (2010), manakala Ralph Macchio kembali sebagai Daniel LaRusso, watak asal yang telah menginspirasi peminat sejak filem pertama pada tahun 1984.
Kehadiran kedua-dua figura lagenda ini bukan sahaja membangkitkan nostalgia, tetapi turut memperkenalkan pendekatan baharu dalam penceritaan filem ini.
Diarahkan oleh Jonathan Entwistle dan ditulis oleh Rob Lieber, Karate Kid: Legends mengisahkan Li Fong (lakonan Ben Wang), seorang remaja mahir kung fu yang berpindah ke New York City bersama ibunya.
Di sana, Li terjebak dalam konflik dengan juara karate tempatan yang bengis, mendorongnya untuk menyertai satu pertandingan karate terhebat. Dalam usahanya untuk bersedia, Li mendapat bimbingan bukan daripada seorang, tetapi dua guru hebat — Mr. Han dan Daniel LaRusso — yang masing-masing membawa pendekatan unik dalam latihan dan falsafah hidup.
Filem ini turut dibintangi oleh Joshua Jackson, Sadie Stanley dan Ming-Na Wen. Ia diterbitkan oleh Karen Rosenfelt, dengan Ralph Macchio sendiri bertindak sebagai penerbit eksekutif bersama Jenny Hinkey.
Karate Kid: Legends akan ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh dunia bermula 5 Jun 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan gabungan epik dua legenda dalam satu filem yang bakal menghidupkan kembali semangat Karate Kid untuk generasi baharu.