Jabat Erat: OdeonKL Bakal Jadi Hab Seni ‘Fringe’, Satukan Komuniti Indie Jun Ini
- oleh MDaily Editor
- 15 Apr 2026 8:32 pm
Penganjuran festival kesenian, Jabat Erat (Festival Kesenian Frinjan) pada Jun depan bakal menyaksikan mercu tanda ikonik, OdeonKL, ditransformasikan sebagai pusat budaya Fringe Arts yang baharu di ibu kota.
Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., festival yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Jun itu bukan sekadar acara muzik biasa, sebaliknya merupakan satu gerakan tahunan bagi meraikan ekosistem seni bebas (independent) secara menyeluruh.
Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtarudin, berkata Jabat Erat membawa semangat D.I.Y (Do-It-Yourself) ke tahap maksimum dengan melibatkan pelbagai cabang seni termasuk pengeluaran rekod fizikal seperti vinil, kaset dan CD, serta siri jelajah band.

“Ini adalah hub rangkaian untuk Malaysia, Asia Tenggara, dan seluruh dunia. Kita satukan penganjur independent, venue, peminat, band, label, veteran, sehinggalah ke kumpulan muzik baharu dalam pelbagai genre ‘rock and roll’.
“Acara ini memilih OdeonKL kerana matlamat kami mahu menjadikan lokasi ikonik ini sebagai pusat budaya Fringe Arts. Ia adalah venue untuk semua peringkat umur yang mementingkan penglibatan belia dan hiburan yang selamat serta komuniti-sentrik,” katanya dalam satu majlis rumah terbuka dan sidang media yang diadakan di OdeonKL, di sini, hari ini.
Tambah beliau, festival ini juga bertujuan mengukuhkan identiti jenama baharu tersebut sempena pembukaan semula OdeonKL kepada masyarakat umum.
Jabat Erat bakal menampilkan lebih 20 artis tempatan dan antarabangsa yang merangkumi pelbagai genre seperti rock, punk, shoegaze, metal, dan indie.

Antara barisan artis luar negara yang disahkan hadir termasuk Yellow Fang (Thailand), Dom 65 (Indonesia), Megumi Acorda (Filipina), dan Coaltar of the Deepers (Jepun).
Manakala barisan bakat tempatan pula akan dimeriahkan oleh nama-nama seperti Bayangan, The Impatient Sisters, Leaism, Faye Faire, Hawa, serta kumpulan bertenaga seperti Speedwitches, Swindle, dan Playburst.
“Ini masanya untuk kita memberi inspirasi kepada generasi pemuzik sekarang dan masa depan menerusi perkongsian ilmu. Dari perspektif D.I.Y, kami mahu menceritakan realiti sebenar kugiran yang melakukan jelajah dari bandar ke bandar, selain menjemput perniagaan tempatan untuk memeriahkan suasana kota,” ujar Mozylir lagi.
Dalam pada itu, festival ini turut menyaksikan kerjasama strategik antara OdeonKL sebagai venue rasmi dan platform LOKÉT sebagai penyedia tiket rasmi.
Pengarah Odeon KL, Puan Zarimah Mohamed, menjelaskan kolaborasi bersama LOKÉT bertujuan membangunkan ekosistem industri kreatif yang lebih mampan melalui integrasi teknologi dan pengurusan penonton yang lebih efisien.
Bagi peminat yang ingin merasai pengalaman “mixtape kegemaran” secara langsung, tiket pra-jualan kini ditawarkan pada harga bermula RM118 sehingga RM218, manakala jualan umum bermula dari RM138 sehingga RM238.
Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi di www.jabaterat.com.my.
