Ikuti Kami:

IUC-YEG Academy Lancar Program Pengurusan Haji & Umrah Pertama Di Malaysia Sehingga Peringkat PhD

IUC-YEG Academy Lancar Program Pengurusan Haji & Umrah Pertama Di Malaysia Sehingga Peringkat PhD

Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah (FPHU) Kolej Universiti Inovatif (IUC), dengan kerjasama YEG Academy, hari ini mengumumkan pelancaran Program Pengurusan Haji Umrah 2026 iaitu Program Fast Track Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (Master), dan Doktor Falsafah (PhD).

Ketiga-tiga inisiatif ini merupakan antara program pertama di Malaysia dalam bidang Pengurusan Haji dan Umrah yang telah mendapat pengiktirafan penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengumuman penting ini dibuat bersempena Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Inovatif kali ke-11 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Puan Shahawati Bt Umar, Presiden Kolej Universiti Inovatif (IUC), menegaskan bahawa pelancaran program pasca siswazah ini melengkapkan keseluruhan ekosistem akademik fakulti.

“Dari sudut pendidikan, kami berpendapat bahawa Fakulti Haji & Umrah ini mempunyai struktur akademik yang sangat komprehensif. Ini kerana ia menawarkan program dari peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda (Degree), Sarjana (Master), hingga ke Doktor Falsafah (PhD).

“Adalah penting untuk kita melahirkan graduan dari pelbagai lapisan kelayakan agar dapat memenuhi keperluan dan permintaan industri yang berbeza-beza.” kata Puan Shahawati.

Beliau menjelaskan, Sijil dan Diploma fokus melahirkan tenaga teknikal dan Mutawwif, manakala Ijazah Sarjana Muda melahirkan graduan di peringkat eksekutif untuk mengendalikan operasi penuh agensi pelancongan haji dan umrah.

Puan Shahawati menekankan bahawa Master dan PhD adalah kritikal untuk mengisi kelompongan kepakaran akademik dan penentu dasar industri.

“Untuk Master dengan PhD, kita nak melahirkan dua profesional: satu di peringkat Master, kita nak melahirkan pensyarah itu sendiri. Buat masa ini, dunia akademik tidak mempunyai graduan Master dalam bidang pengurusan haji dan umrah untuk diambil sebagai tenaga pengajar. Kelompongan inilah yang kita mahu isi,”

“Dengan PhD, saya yakin kita akan lahirkan bukan sekadar pakar di Malaysia saja, tetapi untuk seluruh dunia. Dunia akademik ini orang yang membuat polisi, orang yang menentukan adakah ancaman teknologi atau perubahan Arab Saudi boleh kita adaptasi.” katanya.

Encik Mohamad Fikri B Hasbi, Dekan FPHU, turut mengetengahkan keistimewaan Program Fast Track Degree Pengurusan Haji & Umrah yang direka khas untuk lepasan SPM.

“Program Fast Track Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji & Umrah membolehkan calon lepasan SPM memperoleh Ijazah dalam tempoh seawal tiga tahun setengah. ”

“Ini jauh lebih pantas berbanding laluan normal yang biasanya memerlukan lima tahun setengah untuk mendapatkan Ijazah. Melalui program ini, pelajar dapat menamatkan pengajian dari peringkat Diploma hingga ke Ijazah hanya dalam masa tiga tahun setengah” jelas Encik Mohamad Fikri.

Beliau menambah, keunikan program ini adalah praktikal selama 30 hari di Mekah dan Madinah pada semester akhir peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Yayasan Pendidikan Kasih Malaysia (YPKM) turut mengumumkan pemberian bantuan Biasiswa Separa kepada bakal pelajar FPHU dan menaja praktikal pelajar selama 30 hari di Mekah dan Madinah, menunjukkan komitmen YPKM untuk menyokong usaha melahirkan profesional industri haji dan umrah yang relevan.

Selain itu, Program Ijazah Sarjana Muda secara Hybrid (Online + Fizikal) turut disediakan untuk golongan bekerjaya.

Program Sijil Profesional Haji Umrah (SPHU) pula diperkenalkan sebagai micro-credential di bawah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji & Umrah (Kepujian).

SPHU dijalankan secara online selama 3 bulan melalui portal pembelajaran e-hajj.my, memberikan peluang fleksibel kepada masyarakat umum. Peserta SPHU yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda akan mendapat pengecualian jam kredit setara 1 semester.

Turut dilancarkan ialah buku terbitan fakulti berjudul Al-Khibrah (bermaksud pakar/profesional) yang menghimpunkan maklumat akademik, profil tenaga pengajar, serta kisah inspirasi alumni yang kini memegang jawatan penting dalam industri.

FPHU sehingga kini telah berjaya melahirkan seramai 1,200 graduan Diploma, dengan lebih 80% daripadanya berkerjaya di pelbagai syarikat pengendali haji & umrah di dalam dan luar negara.

Komen
Loading...