Ikuti Kami:

Isu Rumah Terbuka KKM: Siti Nurhaliza Nafi Terima Bayaran, Hadir Sebagai Tetamu

Isu Rumah Terbuka KKM: Siti Nurhaliza Nafi Terima Bayaran, Hadir Sebagai Tetamu

Penyanyi tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menjelaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang bayaran untuk membuat persembahan semasa menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berlangsung baru-baru ini.

Penyanyi itu tampil memberi penjelasan susulan video nyanyiannya yang tular dan menjadi perdebatan di media sosial, di mana sesetengah netizen mendakwa kerajaan membazirkan wang rakyat dengan mengundang artis terkenal ke majlis rasmi.

Menerusi kenyataan di Facebook, Siti menegaskan bahawa kehadirannya adalah atas kapasiti sebagai tetamu jemputan, bukan sebagai artis yang diupah untuk membuat persembahan.

“Saya diundang sebagai tetamu, saya hadir menyantuni majlis dan dengan rela hati membuat persembahan. Saya tidak diundang sebagai artis yang dibayar, malah nyanyian itu saya lakukan secara sukarela dan ikhlas,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa menjadi kebiasaannya untuk menyanyi di majlis yang dihadiri jika suasana mengizinkan, dan tindakan tersebut tidak wajar dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

Siti turut menzahirkan rasa kecewa apabila namanya dikaitkan dalam kontroversi tersebut hingga mencetuskan pelbagai spekulasi dan tohmahan yang menurutnya boleh menjurus kepada fitnah.

“Ini bukan isu kecil apabila ia mula disebarkan media, portal, dan netizen sehingga saya pula terpalit sama. Saya harap semua pihak berhenti menularkan perkara yang tidak sahih,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar orang ramai, terutamanya media dan pengguna media sosial, lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan tidak memetik nama atau menyebar gambar seseorang tanpa asas yang sah.

Majlis rumah terbuka KKM itu turut dihadiri ramai tetamu termasuk kakitangan kementerian, dan persembahan Siti Nurhaliza sepatutnya menjadi momen menggembirakan – namun bertukar menjadi perdebatan hangat di ruang maya.

Komen
Loading...