Isu Premis Arak, Menara 60 Tingkat Cetus Kemarahan Penduduk Bukit Damansara
- oleh MDaily Editor
- 15 Nov 2025 1:39 pm
Penduduk Bukit Damansara meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dua isu besar yang didakwa menjejaskan ketenteraman serta kesejahteraan kawasan elit itu.
Isu berkenaan melibatkan sebuah rumah kediaman yang dipercayai ditukar menjadi premis arak serta cadangan pembangunan dua menara setinggi 60 tingkat di Jalan Semantan.
Dalam sesi dialog bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diadakan semalam, penduduk membantah tindakan seorang pemilik rumah di Jalan Setiakasih yang didakwa menukar kediamannya menjadi tempat menjual arak tanpa makluman kepada komuniti setempat.
Penduduk, Dr Barkeh Hanim Jumaat, mendakwa perkara itu hanya disedari selepas mereka terlihat notis permohonan menjual minuman keras melalui Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditampal pada dinding kediaman berkenaan pada Ahad lalu.

Menurutnya, penduduk menentang tindakan pemilik rumah itu kerana bimbang aktiviti penjualan minuman beralkohol berpotensi menggugat keharmonian di kawasan kejiranan yang sebelum ini tenang.
“Ketika ini, kediaman itu sedang menjalani pengubahsuaian secara besar-besaran. Kami membantah sekeras-kerasnya kerana kami tidak rela kawasan perumahan kami dijadikan seperti apa yang berlaku di Bangsar.
“Adakah sebuah pub akan naik di kawasan perumahan kami? Itu yang menghantui pemikiran kami,” katanya ketika ditemui di Pusat Komuniti Bukit Damansara, di sini, semalam.
Dalam masa sama, penduduk turut membantah projek pembangunan dua menara setinggi 60 tingkat di Jalan Semantan kerana khuatir ia akan meningkatkan kesesakan trafik serta menambah tekanan terhadap infrastruktur sedia ada.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut hadir pada sesi dialog semalam berkata penduduk sebenarnya tidak menolak pembangunan.

Sebaliknya, katanya, komuniti penduduk bimbang kawasan tersebut akan menjadi lebih sesak memandangkan rangkaian jalan raya di situ sudah berada pada had kapasiti, terutama di Jalan Semantan.
Ini kerana, jelas beliau, Jalan Semantan bukan sahaja digunakan oleh penduduk Bukit Damansara, tetapi juga menjadi laluan harian bagi mereka yang bekerja di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
“Jalan Semantan adalah sebahagian daripada sistem jalan raya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Orang yang bekerja di Petaling Jaya menggunakan Jalan Semantan.
“Begitu juga jalan-jalan yang ada di sekitar Bukit Damansara. Memang sekarang pun sesak, kalau ada pembangunan hampir 80 peratus dari keluasan KLCC, ia akan jadi lagi teruk,” katanya.
Lebih 100 penduduk hadir pada sesi dialog tersebut bagi menyatakan bantahan dan kebimbangan mereka, dengan harapan pihak berkuasa benar-benar mempertimbangkan kesan jangka panjang pembangunan berkenaan.
Wakil DBKL yang hadir memberi jaminan bahawa semua bantahan dan maklum balas akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
Mereka memaklumkan kelulusan muktamad bagi projek dua menara itu belum diberikan dan tertakluk kepada Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) serta maklum balas masyarakat setempat.
Penduduk berharap keputusan DBKL berpaksikan kepentingan awam agar Bukit Damansara kekal sebagai kawasan kediaman yang aman, selesa dan harmoni.




