Isu Laporan PRU16: Nurul Izzah Gesa Media Betulkan Fakta, Elak Berita Sensasi
- oleh MDaily Editor
- 6 May 2026 11:06 pm
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, hari ini menyangkal ketepatan laporan sebuah portal berita berhubung analisis strategik parti bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang mendakwa parti itu kini berada dalam kedudukan defensif.
Beliau menegaskan bahawa maklumat yang dipetik daripada kononnya “sumber dalaman” tersebut adalah tidak tepat dan menyifatkan tindakan membocorkan dokumen tersebut sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap organisasi demi mengejar berita sensasi.
“Kandungan laporan yang dirujuk adalah tidak tepat. Secara khusus, dakwaan awal bahawa kandungan tersebut datang daripada saya adalah fitnah semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya hari ini.

Nurul Izzah menjelaskan bahawa sebarang analisis atau audit dalaman yang dijalankan oleh parti adalah bertujuan untuk semangat bermuhasabah, memperkukuh jentera, serta merapatkan saf bagi memastikan khidmat terbaik dapat diberikan kepada rakyat.
Menurut beliau, audit sedemikian penting bagi memastikan mana-mana parti politik tidak berada dalam keadaan “syok sendiri” dan sentiasa bersedia untuk menambah baik gerak kerja.
“Malangnya, ada pihak yang berkemungkinan bertujuan mensabotaj usaha untuk memperbaiki serta memurnikan gerak kerja bersama ini,” katanya.
Terdahulu, portal berita Malaysiakini menerbitkan laporan bertajuk “Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier” yang mendakwa pegangan PKR terhadap kerusi-kerusi utama semakin terhakis, dengan membahagikan 66 kerusi kepada empat kategori risiko.
Susulan itu, Nurul Izzah menggesa portal berkenaan untuk membetulkan laporan tersebut dan memadamkan rujukan yang mengaitkan nama beliau dengan dokumen berkenaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan prinsip tabayyun (menyemak kebenaran) sebelum menerima atau menyebarkan sebarang maklumat agar evaluasi dapat dibuat secara adil dan saksama mengikut fakta.
