Ikuti Kami:

Isu ‘Lala Raya’: Agy Tampil Beri Penjelasan, Nafi Sengaja Cetus Kontroversi

Isu ‘Lala Raya’: Agy Tampil Beri Penjelasan, Nafi Sengaja Cetus Kontroversi

Penyanyi dan komposer, Agy atau nama sebenarnya Muhammad Affizy Mohd Khairy, tampil memohon maaf secara terbuka berhubung kontroversi yang melanda karya terbaharunya, “Lala Raya”, yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan kepercayaan masyarakat.

Dalam satu sidang media yang berlangsung di Bangsar, hari ini, Agy menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak mempunyai niat untuk menghina, meniru, mahupun memperlekehkan mana-mana simbol atau ajaran agama, termasuk dakwaan yang mengaitkan kulit album (cover art) lagu tersebut dengan lukisan ‘Last Supper’.

Menurut Agy, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan tersebut yang disifatkan sebagai salah faham terhadap interpretasi visual yang cuba disampaikan dalam muzik video (MV) berkenaan.

“Atas dasar rasa hormat dan tanggungjawab saya sebagai seorang Islam serta rakyat Malaysia, saya tegaskan bahawa tiada langsung niat dalam diri saya untuk menghina mana-mana pihak.

“Saya akui terdapat kekhilafan pada pihak saya dan pasukan produksi. Mengenai dakwaan persamaan dengan kepercayaan agama tertentu, sejujurnya ia tidak pernah terlintas di fikiran. Adegan di meja makan itu hanyalah referensi mengenai momen makan bersama keluarga, namun saya sedar ia telah disalah tafsir,” katanya.

Bagi menangani isu tersebut, Agy memaklumkan bahawa beliau telah mengambil tindakan proaktif dengan menurunkan MV asal, melakukan suntingan semula dengan membuang sepenuhnya babak di meja makan, serta menukar kulit album di semua platform digital.

Menjelaskan mengenai mesej sebenar karya tersebut, Agy berkata, MV berkenaan sebenarnya membawa mesej satira mengenai realiti sosial masyarakat hari ini yang lebih mengutamakan penggunaan peranti digital berbanding interaksi bersemuka ketika sambutan Aidilfitri.

“Mesej yang kami ingin sampaikan adalah tentang kebergantungan masyarakat terhadap teknologi sehingga melupakan nilai kebersamaan. Kami mahu menunjukkan senario di mana orang lebih fokus kepada telefon bimbit, media sosial dan ‘memerli’ antara satu sama lain, namun mungkin cara penyampaian itu terlalu tersirat sehingga menimbulkan salah faham,” jelasnya.

Agy turut menerima segala kritikan netizen dengan hati terbuka, termasuk komen mengenai gaya nyanyian dan watak yang dipaparkan dalam video berkenaan.

“Saya terima semua komen netizen dengan baik. Ini adalah pengajaran terbesar buat saya dan pasukan untuk lebih berhati-hati serta lebih peka dalam setiap karya yang dihasilkan pada masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Agy turut mengumumkan bahawa beliau akan melancarkan versi kedua lagu “Lala Raya” yang berentak tradisional, kira-kira dua minggu sebelum sambutan Aidilfitri tiba.

Beliau berharap agar penjelasannya ini dapat meleraikan segala kekeliruan dan memohon orang ramai agar tidak mengaitkan ahli keluarga serta rakan-rakan yang terlibat dalam pembikinan karya tersebut dengan isu yang tercetus.

Loading...