Ikuti Kami:

Isu ‘Blackout’ Konsert Pentas RadjaWali: Penganjur Tampil Beri Penjelasan

Isu ‘Blackout’ Konsert Pentas RadjaWali: Penganjur Tampil Beri Penjelasan

Penganjur Konsert Pentas RadjaWali tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik insiden gangguan bekalan elektrik atau ‘blackout’ dan kekecohan yang berlaku semasa persembahan artis utama malam tadi.

Syarikat penganjur yang terdiri daripada Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events, serta Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kelewatan permulaan konsert tersebut adalah atas dasar menghormati sensitiviti agama dan masyarakat setempat.

“Keputusan untuk melewatkan permulaan acara diambil demi menghormati waktu solat Isyak, memandangkan lokasi konsert dikelilingi kawasan kediaman dan masjid. Kami tidak mahu memulakan konsert ketika azan berkumandang atau ketika jemaah sedang bersolat.

“Waktu Isyak bermula sekitar jam 8.30 malam dan tamat kira-kira 10 minit kemudian. Atas sebab itu, kami memulakan acara pada jam 8.50 malam sebagai satu bentuk penghormatan,” kata wakil penganjur dalam kenyataan tersebut.

Mengulas mengenai insiden sistem bunyi (PA System) yang dimatikan secara tiba-tiba, penganjur menjelaskan bahawa mereka telah cuba berunding dengan pemilik premis, Idea Live Arena, serta wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berada di lokasi.

Menurut penganjur, walaupun permit hiburan dalam talian adalah sah sehingga jam 1 pagi, namun permit venue hanya sah sehingga jam 12 tengah malam.

Sedar akan kekangan itu, penganjur mendakwa telah memohon kelonggaran masa sehingga jam 12.30 tengah malam bagi membolehkan kumpulan Wali Band menamatkan lagu terakhir mereka.

“Malah, kami sedia menanggung segala risiko dan memberitahu pihak venue bahawa kami sanggup kehilangan deposit RM20,000 atau didenda, asalkan peminat berpuas hati. Keutamaan kami adalah kepuasan peminat, bukan wang ringgit,” jelas kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, penganjur mendakwa pihak pengurusan venue enggan bertolak ansur dan meminta surat kebenaran bertulis beserta cop rasmi MBPJ dikemukakan pada waktu kejadian, yang disifatkan sebagai satu permintaan mustahil untuk dipenuhi pada tengah malam.

Dakwa kenyataan itu lagi, meskipun satu persetujuan lisan dicapai bersama wakil venue pada jam 11.55 malam untuk membenarkan ‘satu lagu terakhir’ didendangkan, pihak venue tetap mematikan sistem bunyi sebaik sahaja lagu yang sedang dimainkan tamat tanpa sempat artis membuat pengumuman penutup.

“Tindakan inilah yang menyebabkan kekeliruan dan kemarahan peminat. Kami memohon maaf kepada semua peminat yang hadir atas insiden yang tidak diingini itu.

“Kami telah melakukan segala usaha termampu untuk menyelamatkan keadaan, tetapi tersekat akibat ketegasan pihak venue yang enggan berkompromi,” katanya.

Komen
Loading...