Ikuti Kami:

Istiadat Perkahwinan Diraja YAM Tengku Arif Bendahara Bermula Esok

Istiadat Perkahwinan Diraja YAM Tengku Arif Bendahara Bermula Esok

Istiadat Perkahwinan Diraja YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan YM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan dijadualkan bermula esok, Selasa 22 Oktober 2024, dengan Istiadat Meletak Kerja di pekarangan Istana Abdulaziz di sini.

Sebanyak 16 das tembakan meriam akan dilepaskan esok, yang akan dimulakan dengan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja serta menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.

Sebaik sahaja tembakan meriam dilepaskan pada kira-kira pukul 9.30 pagi, bacaan doa akan diteruskan bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja.

Pada sebelah petang, kira-kira pukul 6.30, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dijadualkan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini.

Pasangan Pengantin Diraja ini akan dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor, pada 24 Oktober 2024 di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, pada pukul 8.00 malam.

Istiadat diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober 2024 dan Istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober 2024, yang kedua-duanya akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8.00 malam.

Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai, dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan satu layar di Dataran Pekan, Pahang.

Istiadat Perkahwinan Diraja ini akan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang, termasuk Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram, dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober 2024 di Istana Abdulaziz.

Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan akan bermula pada pukul 4.00 petang, di mana KDYMM Tengku Ampuan Pahang akan menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin.

Sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram. Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Sahibus Samahan Prof. Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim, akan dilakukan sebelum Istiadat Bersiram.

Majlis Jamuan Teh pula akan bermula sejurus selepas pasangan pengantin selesai Istiadat Bersiram.

Bagi mengakhiri semua istiadat ini, YAM Tengku Panglima Raja akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja, diikuti dengan 16 das tembakan meriam dan bacaan doa oleh Mufti Pahang.

Tembakan meriam akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi, iaitu di Dataran MBK dan Dataran Pekan, sepanjang berlangsungnya tarikh Istiadat Perkahwinan Diraja ini.

Komen
Loading...