Ikuti Kami:

Istiadat Perkahwinan Diraja Pahang: Tengku Muhammad Iskandar Shah dan Tengku Natasya Selamat Diijabkabulkan

Istiadat Perkahwinan Diraja Pahang: Tengku Muhammad Iskandar Shah dan Tengku Natasya Selamat Diijabkabulkan

Putera Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, dalam sebuah majlis pernikahan penuh adat pada malam Khamis.

Istiadat yang berlangsung pada jam 8.50 malam itu diadakan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, disaksikan oleh kerabat diraja Pahang dan tetamu kehormat.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu. Baginda berdua mengenakan persalinan berona hijau, seiring dengan tema majlis, bersama paduka anakanda.

Turut berangkat adalah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, bersama ahli keluarga diraja Pahang yang lain. Sejurus selepas akad nikah, pengantin lelaki menunaikan solat sunat sebelum majlis diteruskan dengan penyerahan mas kahwin berupa senaskhah al-Quran kepada Tengku Natasya yang anggun di atas pelamin.

Upacara disusuli dengan majlis menyarung cincin oleh kedua-dua mempelai, diikuti dengan istiadat merenjis yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah, dan Tengku Hassanal.

Ibu bapa pengantin perempuan, Tengku Adnan dan isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki, juga mengambil bahagian dalam istiadat merenjis, merestui perkahwinan pasangan tersebut.

Suasana menjadi lebih emosional apabila Tunku Azizah kelihatan sebak sebelum memeluk erat putera kesayangan baginda sejurus selepas istiadat merenjis selesai.

Istiadat perkahwinan diraja ini akan diteruskan dengan Istiadat Berinai yang disiarkan secara langsung menerusi layar besar di Padang MBK 1, Kuantan, dan Dataran Muzium Diraja, Pekan.

Tinjauan di Padang MBK 1 malam tadi mendapati orang ramai telah mula berkumpul seawal jam 8 malam untuk mengikuti siaran langsung dan merakam momen bersejarah perkahwinan diraja ini.

Komen
Loading...