Isteri Rahsia Ungku Jabbar: Sentuhan Rashid Sibir, Gandingkan Keith Foo, Harissa Adlynn
- oleh MDaily Editor
- 23 Apr 2026 1:22 pm
Digelar sebagai ‘Pengarah Air Mata’, nama Rashid Sibir sememangnya tidak asing lagi dalam industri seni tanah air. Setiap naskhah sentuhannya sering kali berjaya mengusik jiwa penonton dengan plot yang sarat dengan emosi dan pengajaran.
Terbaharu, beliau kembali mempertaruhkan karya yang dijangka bakal mencetuskan fenomena menerusi drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar.
Naskhah yang mengisi slot Megadrama di Astro Ria ini merupakan adaptasi daripada novel popular Badass Wife Ungku Jabbar.
Menerajui drama ini ialah pelakon berpengalaman, Keith Foo yang digandingkan bersama bintang muda sedang meningkat naik, Harissa Adlynn.
Drama 28 episod ini membawakan kisah yang berani mengenai jurang perbezaan darjat yang masih menebal dalam masyarakat moden.
Bukan sekadar kisah cinta biasa, Rashid Sibir menyuntik elemen kritikan sosial terhadap sikap materialistik serta impak buruk apabila sesebuah perkahwinan dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga dan umum.
Selain gandingan utama, kekuatan drama ini turut terletak pada barisan pelakon pembantu antaranya termasuklah Ezaidi Aziz, Dynas Mokhtar dan Scha Eliena.
Pendekatan penceritaan kali ini dikatakan lebih segar, namun tetap mengekalkan ‘trademark’ Rashid Sibir yang mahir dalam menterjemahkan konflik batin watak ke dalam visual yang menyentuh hati.
Drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar mengisahkan tentang Ungku Jabbar terpaksa mengahwini Nilam bagi menutup skandal adiknya, Jiyad, yang telah merogol gadis tersebut.
Rumah tangga mereka penuh dengan konflik, gangguan keluarga, dan dendam, namun berubah apabila cinta mula berputik antara mereka. Keadaan menjadi rumit dengan kepulangan Jiyad yang ingin merampas kembali Nilam.
Bagi peminat drama Melayu yang tidak mahu terlepas setiap babak penuh debaran ini, Isteri Rahsia Ungku Jabbar bersiaran pada setiap Isnin hingga Khamis, 10.00 malam di Astro Ria (104) dan boleh distrim melalui aplikasi Sooka.
Sejak mula ditayangkan Isnin lalu, drama ini mula mendapat perhatian netizen di media sosial yang rata-ratanya memuji keserasian antara Keith Foo dan Harissa Adlynn, selain menantikan “kejutan” emosi yang sering dihidangkan oleh pengarah hebat tersebut.
