Istana Pahang Nafi Dakwaan Tengku Mahkota Pahang Bakal Berkahwin April 2025
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Istana Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai majlis perkahwinan Kebawah Duli Paduka Mulia (KDPM) Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang didakwa akan berlangsung pada April 2025.
Kenyataan itu dibuat susulan hantaran di laman Instagram seorang pengguna dengan nama Faridah Daud (@faridah.daud_1) yang mendakwa dirinya bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang.
Dalam hantaran di Instagram Story, wanita itu secara fitnah menyebut nama Tengku Hassanal sebagai pasangan dalam majlis perkahwinan yang didakwa bakal berlangsung.
Menurut kenyataan rasmi Istana Pahang, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan fitnah semata-mata. Istana turut mengesahkan bahawa ini bukan kali pertama individu berkenaan memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap keluarga diraja Pahang.
“Istana Pahang menyeru orang ramai agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang tidak dikeluarkan melalui saluran rasmi seperti Portal Rasmi Istana Pahang di istanapahang.my atau platform media sosial rasmi Kesultanan Pahang di Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube,” kata kenyataan itu.
Pihak Istana juga menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati membuat hantaran fitnah atau menyebarkan berita palsu yang boleh mengganggu keharmonian institusi diraja.
Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih hanya melalui sumber rasmi bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan kekeliruan.