Ikuti Kami:

Isa Azry Dedikasi Single Sulung ‘Nadhif’ Buat Ibu Tersayang

Isa Azry Dedikasi Single Sulung ‘Nadhif’ Buat Ibu Tersayang

Penyanyi baharu, Isa Azry, melangkah masuk ke dunia seni dengan single sulung berjudul Nadhif, sebuah lagu ballad yang didedikasikan khas buat ibu sebagai tanda penghargaan atas kasih sayang dan pengorbanan yang tidak ternilai.

Lagu ciptaan bersama Jeremy Erskine, Amyr Abadawn dan Magix Mpire itu diterbitkan di bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd. dan dirakam di Exuism Record, Singapura.

Nadhif mengetengahkan perjalanan seorang wanita dari remaja sehingga bergelar tonggak keluarga, sebagai simbol pengorbanan seorang ibu yang jarang dizahirkan tetapi kekal abadi.

Isa yang berasal dari Perak dan kini aktif di platform TikTok, menyifatkan pelancaran Nadhif sebagai permulaan penting dalam kerjaya muziknya.

“Jutaan terima kasih kepada semua yang terbabit menjayakan lagu ini. Saya amat bersyukur kerana Luncai Emas sudi menerima karya pertama saya ini,” katanya.

Walaupun masih baharu, Isa berjaya menyampaikan Nadhif dengan penuh penghayatan menerusi vokal yang merdu dan susunan muzik yang lembut. Lagu ini sarat emosi, menyampaikan rasa syukur dan kerinduan seorang anak terhadap ibunya.

Menurut komposer lagu ini, mesej Nadhif adalah peringatan kepada semua untuk menghargai ibu selagi masih berkesempatan.

“Lagu ini ditujukan khas buat para wanita dan anak-anak agar lebih menilai pengorbanan seorang ibu. Kasih seorang ibu tiada gantinya,” kata mereka.

Video muzik Nadhif kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas, manakala single ini juga boleh didengarkan di semua platform digital.

Komen
Loading...