Ikuti Kami:

IRAMA Signature Lancar Restoran di IOI City Mall, Tawar 199 Menu Melayu Moden

IRAMA Signature Lancar Restoran di IOI City Mall, Tawar 199 Menu Melayu Moden

Satu lagi mercu tanda kulinari baharu telah mengambil tempat dengan pelancaran IRAMA Signature, restoran utama dari Irama Dining Group, yang secara rasmi dibuka di IOI City Mall, Putrajaya, hari ini.

Restoran ini hadir dengan konsep unik menggabungkan hidangan unggul daripada lapan jenama di bawah satu bumbung yang mewah dan berkonsep Melayu moden.

Berinspirasikan falsafah “8 Jenama, 1 Destinasi RASA”, IRAMA Signature merupakan himpunan menu unggul daripada lapan jenama Irama Dining Group, menggabungkan hidangan terbaik daripada tujuh outlet yang sedia ada di bawah satu bumbung.

Pengasas IRAMA Signature, Arshad Kamarulzaman, bersama isterinya, Bella Arshad, menjelaskan konsep unik di sebalik restoran baharu ini. Turut serta sebagai rakan kongsi ialah pasangan adik-beradik kembar, Ikhwan Siru dan Ikmal Siru.

Arshad Kamarulzaman menggariskan sebab utama penubuhan IRAMA Signature adalah untuk menyatukan menu-menu istimewa mereka.

Pengasas Arshad Kamarulzaman (kiri), bersama isterinya, Bella Arshad (kanan) memberikan ucapan pembukaan.

“IRAMA Signature ini adalah satu restoran yang menggabungkan semua masakan, menu-menu spesial daripada tujuh outlet kita oranglah. Jadi kita gabungkan dalam satu menu. Itulah sebabnya kita panggil Irama Signature. Maksudnya, hidangan khas setiap outlet yang kita ada,” katanya.

Rakan kongsi, Ikhwan Siru, mendedahkan syarikat menghadapi cabaran besar mendapatkan lokasi strategik di IOI City Mall, didorong permintaan tinggi pasaran di Bangi, Putrajaya, dan Kajang.

Rakan kongsi ialah pasangan adik-beradik kembar, Ikhwan Siru (kiri) dan Ikmal Siru (kanan).

“Kami berjuang untuk dapatkan lokasi ini, Alhamdulillah, setelah beberapa bulan berbual dengan pengurusan IOI, kami dapat menjadi sebahagian daripadanya,” jelas Ikhwan.

IRAMA Signature kini menampilkan sejumlah 199 menu yang dikurasi khas, hasil gabungan resepi daripada tujuh outlet sedia ada. Menariknya, menu ini bukan sahaja dipilih oleh chef, tetapi turut disaring berdasarkan hidangan yang paling disarankan dan digemari oleh tetamu.

Mengukuhkan konsep moden, Arshad Kamarulzaman menjelaskan pendekatan fusi (fusion) yang digunakan untuk menu.

“Kita ada menu yang terpelbagai (diversify menu) di mana kita buat hidang, kita ada Western, dan kita fusionize our Malay food. Maksudnya kita bukan Melayu yang klasik, kita modenkan,” katanya.

Contoh hidangan moden adalah Masak Salai Lemak Itik yang dimasak menggunakan krim berbanding santan, memastikan rasa baharu tanpa meninggalkan identiti rasa Melayu.

Menu-menu tumpuan lain termasuk Pais Baramundi, Udang Sambal Hijau Betan, Nasi Goreng Wagyu (dengan 100 gram potongan Wagyu), dan Otak-Otak Kukus, yang merupakan kegemaran peribadi Encik Arshad.

IRAMA Signature direka untuk menjadi mesra keluarga dengan kapasiti 148 hingga 150 tetamu. Ia menjamin persekitaran premium dengan harga yang berpatutan, di mana anggaran perbelanjaan untuk keluarga lima atau enam orang adalah sekitar RM150.

Restoran ini juga mempunyai kemudahan untuk acara kecil dan besar, termasuk tiga bilik makan peribadi dan kemampuan untuk menyediakan bufet sehingga 150 tetamu.

“Kami merancang untuk IRAMA Signature menjadi seperti restoran Melayu yang boleh dibuka banyak di Malaysia dan Insya-Allah seterusnya ke IPO (Tawaran Awam Permulaan). Kami ingin membuat penanda dan kami ingin membangunkan ke mana-mana yang kita ada,” kata Arshad.

Komen
Loading...