Irama Jazz Bersatu dengan Orkestra Filharmonik Malaysia di DFP Oktober Ini
- oleh Mohd Indera
- 10 Aug 2025 2:18 pm

Irama jazz dan kemegahan muzik orkestra bakal bersatu di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC, apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mempersembahkan konsert bertemakan A Night of Jazz with the MPO pada 4 Okt ini.
Konsert yang akan bermula pada 8 malam itu bakal dipimpin oleh konduktor terkenal Ahmad Muriz Che Rose, dengan gabungan karya jazz klasik dan ciptaan baharu yang dijangka memberikan pengalaman muzik berbeza kepada para penonton.
Ahmad Muriz Che Rose
Antara karya antarabangsa yang akan dipersembahkan termasuk Route 66, Summertime, That Old Black Magic, I’ve Got You Under My Skin, Sunny dan Caravan.
Penonton turut berpeluang menikmati interpretasi segar lagu-lagu jazz tempatan seperti Heart Of Stone (Greg Lyons), One Last Look (Michael Veerapen), Sepi (David Gomes), Hujan Di Tengahari (P. Ramlee) dan Chendering (Jimmy Boyle).
MPO akan bekerjasama dengan legenda piano jazz negara, Michael Veerapen, yang memiliki pengalaman lebih lima dekad dalam industri muzik serta merupakan alumni Berklee College of Music, Boston.
Veerapen, yang pernah menerima Brand Laureate Icon Award, dikenali sebagai figura berpengaruh dalam perkembangan muzik jazz tanah air.
Turut memeriahkan pentas ialah pemain alto saksofon terkenal Julian Chan bersama Julian Chan Jazz Orchestra (JCJO), kumpulan jazz versatil Pop n’ Bop, serta dua vokalis tersohor negara, Tony Eusoff dan Junji Delfino.
Julian Chan, yang pernah bekerjasama dengan nama besar antarabangsa seperti Laura Fygi, Jeremy Monteiro dan Carmen Bradford, menubuhkan JCJO pada 2018.
Kumpulan itu kini dikenali sebagai antara ensembel jazz utama di Malaysia dengan kemampuan membawakan pelbagai genre muzik daripada jazz tradisional sehingga simfoni moden.
Konsert ini dijangka menarik minat bukan sahaja penggemar jazz tegar tetapi juga pencinta muzik orkestra yang ingin merasai kelainan persembahan dua dunia muzik berbeza yang berpadu di pentas sama.
Tiket berharga antara RM179 hingga RM329 manakala suite eksklusif ditawarkan pada harga RM389 dan RM449 seorang.
Tempahan boleh dibuat melalui talian 03-23317007, e-mel [email protected], atau secara dalam talian di www.mpo.com.my.