iQOO Neo 10 Perkenal Cip Snapdragon 8s Gen 4 Buat Kali Pertama di Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Pasaran telefon pintar tempatan bakal menyaksikan satu lagi pencapaian teknologi apabila jenama peranti mudah alih, iQOO, mengesahkan ketibaan model terbaharu mereka, iQOO Neo 10, ke Malaysia.
Apa yang mencuri tumpuan, iQOO Neo 10 menjadi telefon pintar pertama di Malaysia yang dikuasakan cip pemproses baharu Qualcomm Snapdragon 8s Gen 4, sekaligus menandakan kemajuan penting dalam prestasi peranti mudah alih, khususnya dalam segmen permainan digital dan multitugas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan iQOO hari ini, Neo 10 direka khas untuk memenuhi keperluan pengguna digital moden dan komuniti pemain mudah alih yang semakin berkembang di Malaysia.
“Dengan gabungan kuasa pemproses terkini, paparan visual yang mengasyikkan, serta teknologi penyejukan dan bateri tahan lama, iQOO Neo 10 menawarkan prestasi bertaraf flagship tanpa menjejaskan bajet pengguna,” menurut kenyataan itu.
Model ini turut dilengkapi paparan kadar segar semula tinggi, yang memastikan pengalaman meleret dan menatal yang lebih lancar serta responsif — suatu ciri yang kini menjadi keutamaan dalam kalangan pemain tegar dan pengguna media sosial.
Pelancaran iQOO Neo 10 juga menandakan kemasukan rasmi Siri Neo ke pasaran Malaysia, satu langkah strategik iQOO dalam mengukuhkan kedudukan mereka dalam segmen telefon pintar berprestasi tinggi tetapi mampu milik.
“iQOO Neo 10 menyasarkan pelbagai kelompok pengguna – daripada pelajar, pekerja profesional muda, hinggalah ibu bapa yang menginginkan naik taraf peranti dengan nilai terbaik,” tambah kenyataan itu.
iQOO belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi, namun pengguna boleh menjangkakan maklumat lanjut akan dikongsikan dalam masa terdekat melalui saluran media sosial rasmi iQOO Malaysia di Facebook dan Instagram.
Dengan kehadiran cip Snapdragon 8s Gen 4 buat kali pertama dalam pasaran Malaysia, iQOO Neo 10 dijangka menjadi antara model paling dinanti dalam kalangan peminat teknologi dan permainan mudah alih tanah air.